Tapak pelupusan sampah pukal beroperasi 24 jam sepanjang Ramadan di Kelantan

Hilmi (dua, kanan) bersama Yiew Tong (kanan) dan Azi Rahimee (dua, kiri) semasa penyerahan tabung ihya Ramadan kepad wakil MPKB-BRI pada T.E.C - Isuzu Iftar Ramadan di Kota Bharu pada Khamis.
Hilmi (dua, kanan) bersama Yiew Tong (kanan) dan Azi Rahimee (dua, kiri) semasa penyerahan tabung ihya Ramadan kepad wakil MPKB-BRI pada T.E.C - Isuzu Iftar Ramadan di Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU – Tapak pelupusan sampah pukal di negeri Kelantan akan beroperasi 24 jam sepanjang bulan Ramadan bagi memudahkan orang ramai membuang sampah pukal, terutama dalam persiapan menyambut Aidilfitri.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, langkah itu diambil bagi mengelakkan sampah pukal dibuang ke dalam tong sampah domestik, sekali gus boleh menyebabkan masalah kebersihan.

Menurut beliau, tindakan membuang sampah pukal di tong sampah sedia ada boleh dikenakan denda sebanyak RM2,000.

“Dengan adanya kemudahan ini, orang ramai hanya perlu mengeluarkan bayaran sekitar RM20 selori untuk membuang barang seperti tilam, perabot, peti sejuk, televisyen dan lain-lain,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan T.E.C - Isuzu Iftar Ramadan di sini, pada Khamis.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah TEC United Auto Sdn Bhd, Tan Yiew Tong dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Azi Rahimee Mohamed.

Hilmi turut menasihatkan orang ramai agar menghubungi pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing sebelum membuang sampah pukal.

Ujarnya, tapak pelupusan sampah pukal ini terletak di kawasan PBT jajahan masing-masing, antaranya di Kota Bharu (Ketereh), Pasir Puteh, Bachok (Beris Lalang), Tanah Merah dan Machang (Tanah Merah).

Beliau juga menekankan bahawa meskipun tapak pelupusan dibuka 24 jam, orang ramai disarankan untuk membuang sampah pukal pada waktu siang bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!