Acar Limau 'Telur Buaya' laris di bulan Ramadan

ALOR SETAR - Setiap kali Ramadan menjelma, hidangan tradisi seperti acar limau kembali menjadi kegemaran ramai bagi penduduk di utara terutama bagi menambah selera ketika bersahur.
Peniaga acar, Noni Saad, 49, berkata permintaan acar limau buatannya meningkat mendadak setiap kali Ramadan, sehingga beliau perlu menyediakan hampir 60 kilogram buah limau telur buaya khas untuk dijadikan acar.

“Kalau bulan biasa, saya buat dalam 30 kilogram sahaja, tetapi bila bulan puasa, permintaan berganda sebab ramai orang cari untuk makan waktu sahur,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Simpang Empat Kangkong di sini pada Selasa.
Menurut Noni, acar limau yang dihasilkan menggunakan buah limau telur buaya iaitu sejenis limau kampung yang agak sukar diperoleh.
“Limau jenis ini menjadi pilihan kerana rasa masam manisnya yang mampu membuka selera, terutama bagi mereka yang sukar makan nasi ketika sahur.
“Orang dulu-dulu memang suka makan acar limau waktu sahur, terutama orang tua. Limau ini memang buatkan nasi lebih sedap, jadi bila masuk Ramadan, saya awal-awal lagi cari stok limau di kampung-kampung,” ujarnya.
Selain acar limau, ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata, dia turut menyediakan acar ikan talang bagi memenuhi selera pelanggan yang mahukan pilihan lain.

“Saya jual satu bekas acar limau RM6, dan acar ikan talang RM10. Baru-baru ini saya buat 10 kilogram tiga hari sahaja, semua dah habis. Memang permintaan sangat tinggi. Ada juga yang beli banyak untuk buat kenduri,” ujarnya yang sudah lebih 10 tahun berniaga acar secara kecil-kecilan.
Tambahnya, Ramadan menjadi peluang rezeki tambahan buat dirinya, malah dia bersyukur kerana acar limau hasil air tangannya terus menjadi pilihan pelanggan setia setiap tahun.
“Walaupun buat kecil-kecilan, tapi Alhamdulillah, bulan puasa ni memang rezeki lebih sikit. Seronok tengok orang cari acar limau, maknanya tradisi lama masih orang suka,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
