Kes Ismail Sabri: 36 individu dirakam keterangan

PUTRAJAYA - Seramai 36 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut sumber, SPRM telah merakam keterangan 32 saksi dan empat orang kena tuduh (OKT).
"Sebanyak 23 saksi baharu belum direkod keterangan, manakala empat lain sedang disambung rakaman percakapan.
"Status dokumen-dokumen bank pula, permohonan dengan agensi telah pun dilakukan dan mereka masih dalam usaha penyediaan (dokumen) untuk diserahkan kepada SPRM," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Pada 2 Mac lalu, SPRM menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya telah menyita wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas bernilai hampir RM7 juta hasil pemeriksaan di beberapa lokasi berkaitan siasatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri.
Operasi penggeledahan itu dijalankan di kediaman serta tiga premis lain yang dipercayai dijadikan safehouse susulan penahanan empat pegawai kanan yang berkhidmat di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri berkenaan.
Susulan itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, pihaknya membuka kertas siasatan pada awal tahun lepas berhubung isu Keluarga Malaysia membabitkan dana pengiklanan dan promosi agenda kerajaan bernilai RM700 juta.
Setakat ini sebanyak 13 akaun bank bernilai RM2 juta sudah dibekukan bagi membantu siasatan.
Kebanyakan akaun adalah milik empat suspek yang ditahan sebelum ini manakala bagi akaun Ismail Sabri masih belum dibekukan kerana akaun beliau sedang disiasat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
