Selepas kejayaan DeepSeek, China lancarkan Manus

BEIJING – China melancarkan satu lagi teknologi kecerdasan buatan (AI) baharu dikenali sebagai Manus yang mencetuskan fenomena baharu dalam dunia teknologi.
Pelancaran ini menghidupkan harapan bahawa Manus mampu mengulangi kejayaan DeepSeek, chatbot AI yang menggemparkan industri teknologi global awal tahun ini.
Menurut laman web rasminya, Manus merupakan agen AI yang lebih canggih berbanding chatbot biasa dengan kebolehan menganalisis pasaran saham serta menghasilkan buku panduan perjalanan peribadi berdasarkan arahan mudah daripada pengguna.
AFP melaporkan Manus dibangunkan oleh syarikat pemula teknologi Butterfly Effect dan diperkenalkan kepada umum minggu lalu.
Dalam video pengenalan yang kini tular, pengasas bersama, Yichao Peak Ji menyifatkan Manus sebagai satu paradigma baharu dalam kolaborasi antara manusia dan mesin serta kemungkinan besar langkah awal ke arah kecerdasan buatan umum (AGI) - konsep AI yang berupaya berfikir seperti manusia.
Walaupun akses masih terhad, populariti Manus melonjak pantas dengan lebih 170,000 pengguna sudah menyertai pelayan rasmi Discord platform itu.
Nama Manus diambil daripada frasa Latin 'Mens et Manus' yang bermaksud minda dan tangan, merujuk kepada gabungan antara pengetahuan dan aplikasi praktikal dalam dunia nyata.
Tidak seperti DeepSeek yang dibangunkan secara tertutup sebelum meraih populariti, Manus mengambil pendekatan berbeza dengan hanya membenarkan akses kepada pengguna yang dijemput serta menyasarkan pelanggan dalam sektor korporat.
Bagaimanapun, pendekatan eksklusif ini boleh menjadi pedang dua mata.
Menurut Profesor Madya Marina Zhang dari Universiti Teknologi Sydney, langkah ini mungkin meningkatkan minat orang ramai tetapi boleh menghalang penerimaan meluas dalam pasaran.
Ujian yang dijalankan AFP mendapati Manus mengambil masa lebih lama untuk menjana respons berbanding DeepSeek. Namun, AI ini mampu menyelesaikan tugas yang lebih rumit, termasuk membangunkan laman web khusus, sesuatu yang sukar dilakukan oleh DeepSeek dan ChatGPT.
Salah satu aspek mengejutkan mengenai Manus adalah kebolehannya memberikan respons tanpa tapisan terhadap isu-isu politik sensitif di China.
Sebagai contoh, ketika ditanya mengenai peristiwa berdarah Tiananmen 1989, Manus secara terbuka menyatakan bahawa kerajaan China telah menjalankan tindakan keras secara ganas terhadap penunjuk perasaan pro-demokrasi di Dataran Tiananmen, Beijing. AI ini turut menyediakan enam perenggan tambahan yang memperincikan kejadian tersebut.
Selain itu, AI ini juga memberikan jawapan terperinci mengenai dakwaan pelanggaran hak asasi manusia di Xinjiang, sesuatu yang DeepSeek tidak lakukan kerana ia telah diprogramkan untuk selari dengan dasar kerajaan China.
Ketika ditanya mengenai keupayaannya memberikan respons tanpa tapisan, Manus menjelaskan bahawa ia tidak secara sengaja menapis maklumat fakta. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

