'Bomoh minta hati burung mati bercinta untuk rawat kanser'

Che Intan (kanan) bersama Pengerusi Pertubuhan Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal selepas majlis 'Ramadan Kita' anjuran Environment Idaman Sdn Bhd (EISB) bersama CSM di Alor Setar baru-baru ini.
Che Intan (kanan) bersama Pengerusi Pertubuhan Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal selepas majlis 'Ramadan Kita' anjuran Environment Idaman Sdn Bhd (EISB) bersama CSM di Alor Setar baru-baru ini.
A
A
A

ALOR SETAR – [DIKEMAS KINI] Seorang pesakit kanser otak kehilangan rumah serta wang simpanan lebih RM60,000 selepas terpedaya dengan bomoh yang kononnya mampu menyembuhkannya.

Che Intan Md Zain, 62, berkata, kejadian itu berlaku 10 tahun lalu, namun masih segar dalam ingatannya selepas diperkenalkan kepada bomoh berkenaan oleh seorang kenalan. Ketakutannya terhadap prosedur rawatan hospital yang dianggap menyakitkan menyebabkan dia mencari alternatif lain.

Menurutnya, selepas disahkan menghidap kanser otak pada 2011, dia menjalani pembedahan di Hospital Pulau Pinang untuk membuang tumor di bahagian kiri otak serta menjalani ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan pengimejan resonans magnetik (MRI).

“Saya bimbang untuk meneruskan rawatan kerana takut. Kebetulan seorang rakan memperkenalkan saya kepada bomoh itu.

“Bomoh tersebut menyuruh saya mandi dengan tujuh jenis bunga selama tujuh hari selain mencari hati burung mati bercinta. Dia juga meminta saya mendapatkan kain kafan orang meninggal pada hari Selasa, tetapi saya tidak mampu mencarinya.

“Dia kemudian menawarkan diri untuk mendapatkan kain kafan tersebut dan meminta wang daripada saya,” katanya ketika ditemui pada majlis 'Ramadan Kita' anjuran Environment Idaman Sdn Bhd (EISB) bersama Pertubuhan Cancer Survivors Malaysia (CSM) baru-baru ini.

Che Intan berkata, bomoh berkenaan turut meminta perkara pelik lain seperti tanah kubur dan air kolah dari tujuh masjid.

Kerana terlalu percaya, dia sanggup menjual rumah, barang kemas serta menyerahkan wang simpanan lebih RM60,000 kepada bomoh terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Rupanya saya ditipu. Kanser saya semakin teruk sehingga sebelah mata menjadi kabur kerana tidak menerima rawatan sepatutnya,” katanya yang berharap kisahnya menjadi pengajaran kepada pesakit kanser lain.

Akibat ditipu, Che Intan kini terpaksa menumpang di rumah ibunya, Hatijah Long, 86, yang semakin uzur, manakala suaminya, Maznan Mohd Din, 62, tidak lagi bekerja sebagai pengawal keselamatan kerana faktor usia.

Pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki berusia 33 tahun yang sudah berkahwin dan tinggal berasingan manakala seorang anak angkat berusia 16 tahun tinggal bersama mereka.

Sementara itu, Pengerusi CSM, Zuraini Kamal menasihatkan pesakit kanser agar tidak mudah terpedaya dengan rawatan bomoh dan sebaliknya mendapatkan rawatan di hospital.

“Rawatan di hospital kerajaan tidaklah semahal seperti yang diminta oleh bomoh tersebut, malah ada pesakit yang sembuh selepas menjalani rawatan moden seperti kemoterapi dan radioterapi,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan kesedaran kesihatan bagi memastikan pesakit kanser tidak menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!