Sidang Parlimen Khas akan tentukan calon Perdana Menteri: Tun M

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Calon Perdana Menteri akan ditentukan pada Persidangan Khas Dewan Rakyat yang akan diadakan pada 2 Mac depan.

Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perkara itu terpaksa dilakukan berikutan pertemuan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan ahli Parlimen selama dua hari yang berakhir semalam tidak menemukan calon yang memperoleh majoriti jelas.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Mahathir berkata, perkara itu dimaklumkan Seri Paduka kepada beliau dalam pertemuan di Istana Negara hari ini.

"(Oleh) kerana tiada yang ada majoriti jelas, (Seri Paduka ) kata ruang yang sesuai adalah Dewan Rakyat.

"Maka Parlimen akan bersidang pada 2 Mac. Siapa yang ada sokongan majoriti di Parlimen akan menjadi Perdana Menteri," katanya pada sidang media selepas mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan terkini susulan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, sekiranya dalam persidangan khas awal bulan depan itu tiada mana-mana calon yang memperoleh sokongan majoriti, maka ia perlu ditentukan melalui proses pilihan raya.

"Bagaimanapun jika Dewan Rakyat gagal mendapat seorang yang ada majoriti, kita perlu lalui pilihan raya," katanya.

Artikel Berkaitan: