Ini baru betul air dalam balang...

TAMPIN – Seorang peniaga air balang di Gemencheh mengambil pendekatan kreatif dengan menggunakan balang biskut raya sebagai alternatif menggantikan beg plastik dalam usaha menyokong kempen tiada beg plastik di Negeri Sembilan.
Mohd Zaidi Mohd Shahidan, 35, berkata, inisiatif unik itu bukan sahaja membantu mengurangkan penggunaan plastik, malah menarik lebih ramai pelanggan ke gerainya kerana ia sesuatu yang berbeza dan menarik.
"Saya masih menggunakan plastik untuk membungkus air, tetapi balang ini sebagai alternatif tambahan.

"Lagipun, kerajaan menggalakkan pengurangan penggunaan plastik, jadi saya menyahut kempen ini dengan cara tersendiri," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, gerainya yang beroperasi dari jam 3 petang hingga 7 malam menawarkan empat perisa air balang.
"Air dalam balang dijual pada harga RM5, manakala air dalam plastik berharga RM4. Ada pelanggan yang memilih air dalam balang kerana lebih praktikal dan boleh terus dihidangkan.
"Selain itu, mereka boleh menyimpan balang tersebut untuk kegunaan lain, seperti menyimpan makanan atau biskut raya," katanya.
Bagaimanapun, Mohd Zaidi mengakui kos pembelian balang lebih tinggi berbanding plastik, tetapi niatnya adalah untuk bersedekah.
Sementara itu, beliau berkata kebiasaannya pada bulan Ramadan, dia sibuk menyiapkan tempahan biskut raya pelanggan, namun tahun ini pertama kali mencuba menjual air balang.
"Kalau hari biasa saya berniaga makanan RM5, dan bulan puasa pula biasanya saya fokus menyiapkan tempahan biskut raya.
"Tapi tahun ini, saya mencuba perniagaan air balang kerana mahu membantu pekerja mencari rezeki sepanjang Ramadan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

