Lelaki sengaja langgar pengunjung wanita di Bazar Ramadan cetus kemarahan

TEMERLOH – [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki dipercayai sengaja mengambil kesempatan melanggar pengunjung wanita di Bazar Ramadan Lurah Semantan di sini pada Selasa sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.
Klip video berdurasi 24 saat yang dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok dengan profil @zackrazbundle memaparkan aksi seorang lelaki berbaju-T biru dan bertopi hitam yang berjalan di celah orang ramai sebelum tiba-tiba menghimpit serta melanggar seorang wanita yang lalu di hadapannya.
Sementara itu, dalam klip kedua berdurasi 37 saat yang dipercayai berlaku beberapa hari sebelum insiden pertama, seorang mangsa dilihat menegur tindakan seorang lelaki yang melanggar punggung wanita sebanyak dua kali. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada individu tersebut adalah orang yang sama dalam video pertama.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian netizen, malah ada yang mendakwa turut menjadi mangsa tindakan lelaki terbabit.
Selain itu, ramai yang menyarankan agar mangsa segera membuat laporan polis supaya tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap suspek.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, memaklumkan bahawa pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian terbabit.
Sementara itu, individu yang memuat naik klip video terbabit memberitahu Sinar Harian, lelaki berkenaan berjaya ditahan kira-kira jam 6 petang pada Rabu dan satu laporan polis akan dibuat mengenai perbuatan pelaku.
Menurutnya, pada mulanya lelaki terbabit tidak mengakui melakukan perbuatan tersebut sebelum bertindak mendiamkan diri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

