Lelaki, wanita Vietnam didakwa edar 9.2kg dadah MDMA

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki dan wanita warga Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan mengedar dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 9.2 kilogram (kg) awal bulan ini.
Tertuduh, Lee Chen Khang, 29, dan Nguyen Thi My Tien, 24, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengedar dadah tersebut di sebuah apartment di Taman Johor Jaya pada jam 7.10 malam pada 4 Mac lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2)(a) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 15 kali.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki dadah jenis ketamin seberat 74 gram di lokasi dan masa sama.
Bagi kesalahan ini, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Nevina.
Mahkamah menetapkan 20 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

