Permainan snuker tarik remaja lepak masjid

SEREMBAN - Bagi menarik minat golongan remaja ke masjid, Masjid Muhammad Al-Fateh Forest Height di sini mengambil inisiatif menyediakan meja pool atau permainan snuker sejak tahun lalu.
Bagaimanapun, usaha tersebut mendapat reaksi negatif daripada sesetengah pihak yang beranggapan permainan begini tidak sesuai diletakkan di rumah ibadat.
Ia selepas tular satu video baru-baru ini yang memaparkan sekumpulan kanak-kanak sedang leka bermain pool ketika jemaah lain sedang solat, yang sedikit sebanyak mencalarkan imej masjid berkenaan.
Menjelaskan perkara itu, Imam 1, Muhammad Mustakim Hamidun berkata, meja pool dan dua lagi permainan dalam ruangan tersebut disumbangkan oleh ibu bapa di kawasan terbabit dan bukannya menggunakan dana masjid.
"Di kawasan ini ramai ibu bapa yang bekerja dan anak mereka, terutama yang bersekolah menengah, sering datang ke sini untuk solat dan berehat.
"Jadi, ada ibu bapa mencadangkan supaya diletakkan meja pool dan beberapa permainan dalam ruangan lain kerana jika tidak, anak mereka pergi melepak di kedai snuker selepas solat," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, pada permulaannya hanya terdapat satu saja meja pool sebelum ibu bapa menambah beberapa meja dan permainan lain.
Beliau berkata, pihak masjid bersetuju untuk menerima sumbangan tersebut kerana tidak merasakan ia boleh menimbulkan isu.
"Lagi pun, ia disumbangkan oleh ibu bapa dan tidak langsung menggunakan dana masjid.
"Malah, sejak adanya permainan itu di situ, kita dapati kehadiran golongan remaja ke masjid bertambah dan ibu bapa juga tak risau kerana anak-anak mereka lepak di masjid bukannya di tempat bukan-bukan," katanya.
Selain itu, katanya, pihaknya turut mengadakan kelas mengaji pada Isnin, Selasa dan Rabu selepas solat Maghrib untuk golongan remaja dan kanak-kanak.
Dalam pada itu, diminta mengulas mengenai video yang tular baru-baru ini, beliau berkata, berdasarkan pengamatannya, video berkenaan mungkin diambil sebelum Ramadan, tetapi hanya tular sejak beberapa hari lalu.
"Saya ada tengok video itu dan rasanya ia bukan dirakam pada Ramadan kerana pada waktu tarawih jumlah jemaah lebih ramai berbanding di dalam rakaman yang tular itu.

"Ramai yang tidak faham situasi masjid di sini dan memuat naik komen bahawa masjid membazir wang sumbangan dengan menyediakan permainan melalaikan dan sebagainya," katanya.
Tambahnya, pihak masjid juga telah memberi teguran dan meminta ibu bapa memantau anak mereka.
Sementara itu, Muhammad Shukri, 21, menyambut baik usaha masjid menyediakan permainan tersebut kerana ia dapat menarik orang muda untuk mengimarahkan rumah ibadat.
"Saya rasa tidak jadi masalah pun dan ia idea yang menarik. Lagi pun ia diletakkan di luar, bukannya di ruang solat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


