Potong minyak masak peket simpan dalam lori tangki

Mohd Zuhairi (dua dari kiri) menunjukkan peket plastik minyak masak yang ditemui di luar premis stor haram di Kapar, Klang.
Mohd Zuhairi (dua dari kiri) menunjukkan peket plastik minyak masak yang ditemui di luar premis stor haram di Kapar, Klang.
A
A
A

KLANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor berjaya membongkar sindiket penyelewengan minyak peket bersubsidi di Kapar di sini pada Isnin.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, sindiket yang dipercayai aktif sejak setahun lalu itu didapati mengambil minyak peket bersubsidi dari pelbagai pembekal sekitar Lembah Klang sebelum diseleweng dan dipindahkan ke dalam lori tangki yang ditempatkan di sebuah stor haram di Kapar.

Beliau berkata, serbuan yang dilakukan bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada jam 4 petang itu dilakukan hasil maklumat dan risikan selama sebulan.

Mohd Zuhairi (dua dari kiri) menunjukkan tong gas industri yang ditemui di sebuah stor haram di Klang.
Mohd Zuhairi (dua dari kiri) menunjukkan tong gas industri yang ditemui di sebuah stor haram di Klang.

"Seramai 15 lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30-an yang merupakan pekerja premis membabitkan lima tempatan serta 10 warga Indonesia telah ditahan.

"Pasukan serbuan telah menemui lambakan kotak yang mengandungi minyak masak peket dan peket plastik yang telah dipotong.

"Sebanyak 6,910 kilogram (kg) minyak masak, peralatan serta empat lori dengan nilai RM18,000 telah dirampas," katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan di sini pada Rabu.

Sebuah lori tangki yang digunakan untuk aktiviti pemindahan minyak masak.
Sebuah lori tangki yang digunakan untuk aktiviti pemindahan minyak masak.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, siasatan mendapati stor haram terbabit dijadikan tempat untuk memotong bungkusan minyak masak peket bersubsidi 1kg sebelum dipindahkan ke lori tangki untuk dijual semula kepada pihak industri.

Tambahnya, dipercayai sebanyak 4,000 peket sehari diseleweng dengan keuntungan RM1 setiap peket.

Dalam pada itu katanya, Op Kita Gempur di stor itu turut mengesan kegiatan pemindahan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi ke dalam tong gas LPG berkapasiti 50kg bagi kegunaan industri.

Mohd Zuhairi (tengah) dalam sidang akhbar di lokasi serbuan stor haram di Kapar, Klang pada Rabu.
Mohd Zuhairi (tengah) dalam sidang akhbar di lokasi serbuan stor haram di Kapar, Klang pada Rabu.

"Sebanyak 341 tong LPG bernilai RM35,000 telah disita.

"Kita akan siasat dalang kegiatan ini yang dipercayai merupakan lelaki tempatan selain tindakan ke atas premis pembekal minyak masak peket.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 selain Akta Pencegahan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001," ujarnya.

Tegasnya, KPDN menegaskan akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan menyeleweng barang kawalan bersubsidi.

Antara timbunan kotak berisi minyak peket yang dirampas KPDN Selangor menerusi serbuan di sebuah stor haram di Kapar, Klang.
Antara timbunan kotak berisi minyak peket yang dirampas KPDN Selangor menerusi serbuan di sebuah stor haram di Kapar, Klang.

Op Tiris 3.0 sejak tahun lalu hingga Februari lepas merekodkan 94 kes dengan rampasan 104,447kg minyak masak peket bernilai RM109,000, manakala tong gas LPG mencatatkan 269 kes dengan nilai RM1.64 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!