Pasar Payang 2 antara lokasi dipasang sistem solar

KUALA TERENGGANU – Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) melalui anak syarikatnya, Tesdec Services Sdn Bhd (TSSB), merancang untuk melaksanakan beberapa projek baharu melibatkan pemasangan sistem solar di pelbagai lokasi di Terengganu dalam masa terdekat.
Pengurus Besar TSSB, Mohd Azrin Mohd Aris @ Aziz berkata, projek baharu yang akan dijalankan itu termasuk pemasangan sistem solar di Majlis Daerah Setiu, Majlis Daerah Besut serta projek di bawah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang melibatkan Pasar Payang 2 dan Pasar Bukit Besar.
"Projek-projek ini akan memperluaskan lagi capaian tenaga hijau serta memberikan manfaat yang lebih besar kepada sektor perbandaran dan masyarakat setempat.
"Pelaksanaan projek ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pihak terlibat dari segi penjimatan kos tenaga, malah turut menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar dengan menggalakkan penggunaan tenaga bersih," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di sebuah hotel di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohd Azrin berkata, pihaknya terus komited dalam melaksanakan inisiatif tenaga boleh baharu dengan berjaya menyempurnakan beberapa projek pemasangan sistem solar PV (fotovoltaik) di pelbagai lokasi di Terengganu.

Menurutnya, projek tersebut dilaksanakan bagi menyokong penggunaan tenaga lestari serta mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional.
Mohd Azrin berkata, antara lokasi pemasangan solar yang telah berjaya disiapkan termasuk Kolej Terengganu Skills di Marang; Majlis Sukan Negeri Terengganu di Litar Permotoran Kuala Nerus; Pasar Binjai, Chukai di Kemaman; dan Majlis Daerah Hulu Terengganu di Hulu Terengganu.
"Secara keseluruhan, jumlah kapasiti yang telah dipasang mencecah 1,311.93 kilowatt peak (kWp), sekali gus menjadikan inisiatif ini sebagai satu langkah signifikan dalam meningkatkan kecekapan tenaga serta mengurangkan pelepasan karbon di Terengganu," jelas beliau.
Pada majlis itu, Tesdec Services menandatangani MoU dengan Polysage Energy Sdn Bhd bagi memperluaskan lagi pembangunan dan pelaksanaan teknologi hijau serta memperkukuh keupayaan dalam penyediaan penyelesaian tenaga mampan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
