McDonald’s sumbang 500 Kotak Rezeki, 80,000 hidangan moreh seluruh negara

McDonald's Malaysia menyalurkan 150 Kotak Rezeki kepada penduduk yang memerlukan di Masjid Al-Akram, Datuk Keramat pada Selasa.
McDonald's Malaysia menyalurkan 150 Kotak Rezeki kepada penduduk yang memerlukan di Masjid Al-Akram, Datuk Keramat pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - McDonald’s Malaysia melalui Program Kongsi Rezeki Ramadan McDonald’s kali ke-11 menyantuni komuniti dengan menyumbang 500 Kotak Rezeki berisi barangan keperluan harian kepada keluarga asnaf, miskin bandar dan mereka yang memerlukan.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatannya, Datuk Azmir Jaafar berkata, sumbangan itu disalurkan kepada kira-kira 400 masjid dan surau di seluruh negara.

Selain itu katanya, sebanyak 80,000 hidangan moreh Mekdi turut diagihkan kepada jemaah selepas solat terawih dan 16,000 pek bubur lambuk kepada komuniti di sekitar masjid dan surau terpilih.

Pengarah Komunikasi Korporat McDonald's Malaysia, Shamsidar Yahya (kanan) menyerahkan hidangan bubur lambuk kepada salah seorang penduduk di Masjid Al-Akram, Datuk Keramat pada Selasa.
Pengarah Komunikasi Korporat McDonald's Malaysia, Shamsidar Yahya (kanan) menyerahkan hidangan bubur lambuk kepada salah seorang penduduk di Masjid Al-Akram, Datuk Keramat pada Selasa.

"Program Kongsi Rezeki Ramadan membawa makna besar kepada kami untuk melaksanakan tanggungjawab sosial sebagai syarikat milik orang Islam dengan membantu masyarakat khususnya di sekitar lokasi restoran termasuk masjid dan surau.

“Hari ini, kami memulakan program di salah satu daripada ratusan masjid dan surau yang akan dikunjungi oleh lebih 370 restoran McDonald’s di seluruh negara bagi menyemarakkan ibadah sepanjang Ramadan,” katanya pada majlis Kongsi Rezeki Ramadan McDonald’s, di sini, pada Selasa.

Sementara itu, Naib Presidennya, Zaid Hasman berkata, program berkenaan lebih meriah kerana dimulakan lebih awal sebelum Ramadan dan akan diakhiri dengan sambutan ambang Hari Raya Aidilfitri.

Artikel Berkaitan:

Zaid Hasman
Zaid Hasman

"Kami menyertai aktiviti bergotong-royong di 50 masjid dan surau supaya jemaah lebih selesa beribadah sepanjang Ramadan.

"Pada penghujung Ramadan pula, kami akan bersama-sama meraikan Pesta Pelita Panjut di Kuala Kangsar pada 25 Mac 2025 sebagai menghargai tradisi masyarakat tempatan dalam menyambut Aidilfitri," ujar beliau.

Tambahnya, terdapat empat lokasi tumpuan utama diimarahkan dengan majlis ilmu menampilkan penceramah terkemuka.

“Antaranya Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Kampung Peramu, Kuantan yang akan menampilkan Timbalan Mufti Pahang, Datuk Badli Shah Alauddin serta Masjid Al-Ikhlas, Shah Alam yang membawa pendakwah, Ustazah Asma’ Harun.

"Seterusnya, Masjid Al-Akram Datuk Keramat menampilkan pendakwah, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat dan pengacara serta penceramah motivasi, Amin Idris akan turut serta di Universiti Selangor (UNISEL) Bestari Jaya," katanya.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Restoran berkata, program hari ini menyaksikan McDonalds dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Food Bank memasak dan mengedarkan 600 pek bubur lambuk kepada jemaah di Masjid Al-Akram Datuk Keramat.

"Hari ini, 150 Kotak Rezeki pula disumbangkan oleh McDonald’s Malaysia untuk keluarga yang memerlukan, menaja majlis berbuka puasa serta hidangan moreh untuk warga kariah," jelasnya.

Dalam pada itu, Pengarah Jawi, Hanifuddin Roslan berkata, program kerjasama tersebut memberi manfaat kepada masyarakat setempat khususnya golongan asnaf dalam menikmati juadah berbuka puasa secara percuma.

Hanifuddin Roslan
Hanifuddin Roslan

“Bagi mereka, sumbangan seperti ini memberi peluang untuk menikmati juadah secara percuma lebih-lebih lagi dalam suasana Ramadan. Ini membolehkan masyarakat setempat berbuka dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran.

"Saya amat menghargai usaha McDonald’s Malaysia yang secara konsisten menyumbangkan makanan bukan sahaja untuk berbuka puasa malah pada hari Jumaat kepada masyarakat Islam," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!