Rezeki Ramadan, kaki pancing naikkan tenggalan seberat 4kg

LIPIS - Seorang kaki pancing tidak menyangka rezekinya pada Ramadan tahun ini apabila berjaya menaikkan seekor ikan tenggalan seberat lebih empat kilogram di Sungai Kampung Dala di sini pada Khamis.
Mohamad Syukri Yusof,45, dari Kampung Mela di sini berkata, ikan itu atau nama saintifiknya, Puntius bulu itu terkena pada jaring yang ditahan ketika air sungai sedang naik.
"Saya dapat ikan ini kira-kira jam 5.30 petang dengan berat 4. 1 kilogram (kg) ketika ditimbang dan saya terus tolak kepada peraih dengan harga RM140 sekilogram.
"Memang rezeki saya Ramadan kali ini dan bersyukur kerana hasil jualannya dapat juga digunakan untuk keperluan sepanjang bulan ini," katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya, tenggalan sememangnya mendapat permintaan tinggi buat penggemar ikan air tawar dan bagi masyarakat Cina ia sering di masak stim (kukus) manakala orang Melayu pula selalunya dimasak lemak cili api, gulai masam atau asam pedas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

