Warga Bangladesh dalang 'ulat sim kad' diberkas

Antara lelaki warga asing yang disyaki menjual kad sim yang didaftarkan Atas nama individu lain ditahan di KLIA, pada Isnin.
Antara lelaki warga asing yang disyaki menjual kad sim yang didaftarkan Atas nama individu lain ditahan di KLIA, pada Isnin.
A
A
A

SEPANG – Taktik sembilan lelaki warga Bangladesh yang menjual kad SIM pada harga RM25 sekeping, yang didaftarkan atas nama individu lain, terbongkar selepas mereka ditahan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Isnin.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kesemua lelaki berusia 22 hingga 50 tahun itu ditahan di ruang legar balai ketibaan pada jam 1.30 petang.

"Operasi itu melibatkan sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, hasil daripada maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Antara kad sim yang dirampas
Antara kad sim yang dirampas

Zakaria berkata, pihaknya telah merampas empat pasport Bangladesh, 10 unit telefon bimbit, 121 keping kad SIM pelbagai syarikat telekomunikasi, lapan keping jarum pembuka kad SIM dan wang tunai berjumlah RM1,555.

Beliau berkata, modus operandi yang digunakan oleh ‘ulat’ kad SIM itu adalah menyasarkan pelancong warga Bangladesh yang baharu tiba di KLIA.

"Mereka menjual kad SIM daripada pelbagai syarikat telekomunikasi tempatan yang didaftarkan atas nama individu lain secara langsung.

"Soal siasat awal mendapati hasil penjualan kad SIM itu boleh mencecah sehingga RM1,500 hingga RM2,000 sehari. Mereka dipercayai telah beroperasi sejak dua bulan lalu," katanya.

Menurutnya, hasil semakan awal mendapati lima daripada mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah, manakala dua individu telah tinggal lebih masa.

Artikel Berkaitan:

"Manakala dua lelaki lagi dipercayai telah melanggar syarat Pas Lawatan Kerja Sementara," katanya.

Zakaria berkata, kesemua lelaki warga asing itu dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

"Kita akan mempergiatkan penguatkuasaan bagi membanteras apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang serta mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM)," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!