Lelaki disyaki ugut juruteknik dengan parang ditahan

GEORGE TOWN - Seorang lelaki ditahan selepas disyaki bertindak mengugut juruteknik sebuah syarikat penyedia kelengkapan rumah dengan parang dalam satu kejadian di Solok Sungai Ara 2, Bayan Lepas di sini, Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan selepas laporan polis diterima daripada juruteknik berumur 21 tahun tersebut.
"Semasa kejadian, juruteknik tersebut baru sahaja selesai menjalankan servis mesin air di rumah suspek dan tiba-tiba mangsa didatangi suspek yang mengacukan parang serta mengeluarkan ugutan serius dengan berkata ‘Sekali lagi saya nampak you, saya akan potong kepala you!’
"Bimbang akan keselamatannya, mangsa segera meninggalkan lokasi sebelum tampil membuat laporan polis dan siasatan awal mendapati insiden itu berpunca daripada salah faham dalam komunikasi antara suspek dan isterinya,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Beliau berkata, isteri lelaki itu tidak memaklumkan kepada suaminya mengenai kehadiran juruteknik tersebut untuk melakukan servis menyebabkan suspek bertindak agresif apabila melihat individu tidak dikenali berada di dalam rumahnya.
Sazalee berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap kes itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan ugutan jenayah.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes curi motosikal.
"Hasil soal siasat, lelaki itu membawa pihak polis ke sebuah rumah di Halaman Mayang 3, Bukit Gedung dan kami menemui enjin motosikal serta komponen lain sebelum ke lokasi ke dua dan menemui motosikal dalam keadaan tidak sempurna di Halaman Mayang 4,” katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas topi keledar, sebuah enjin, ekzos, coverset dan sebuah motosikal daripada lelaki tempatan itu.
Sazalee berkata, lelaki itu kini direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
