Tambah baik empat aspek jika mahu jayakan tanaman padi lima musim dua tahun

ALOR SETAR - Empat aspek perlu ditambah baik sekiranya mahu menjayakan projek penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun dan ia wajar disegerakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, keutamaan perlu diberikan kepada naik taraf sistem terusan, tali air dan perparitan serta pencucian terusan dan tali air secara lebih kerap.
Menurutnya, dua lagi aspek termasuk isu benih padi dan baja serta hasil keuntungan perlu diselaraskan selain usaha harus digiatkan untuk menarik minat petani muda.
“Saya pernah cadangkan agar dibuat pemetaan secara jelas atau dibangunkan aplikasi yang menampakkan saliran dan tali air untuk kita kenal pasti agensi terlibat untuk mudahkan diambil tindakan bagi tujuan penambahbaikan.
“Di Kota Siputeh, terusan dan tali air berusia ratusan tahun dianggarkan ada cecah hampir 600 tahun. Sangat tidak wajar untuk bandingkan pengurusan air di Sekinchan, Selangor yang berusia sekitar 50 tahun dengan Kedah,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurut Koordinator Gerakan Melawan Penindasan Petani (GEMPITA) ini, selagi terusan, tali air mahupun ‘parit-parit gila’ (parit tersier) tidak ditambah baik bagi membantu penjadualan pengairan, ia akan menjadi faktor utama yang menjejaskan hasrat menjayakan penanaman lima musim.
“Ada banyak kawasan guna sistem perparitan yang sama untuk tujuan ‘air masuk’ dan ‘air lepas’. Selain itu, isu sumber air sistem saliran bagi kegunaan komersial dan pertanian juga berlaku pertindihan bidang kuasa antara Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Jika isu ini pun masih tidak dapat diputuskan, bagaimana mahu tingkatkan pengeluaran padi,” ujarnya.
Mohd Ashraf Mustaqim berkata, selain infrastruktur pengairan dan saliran, isu lain seperti pencucian terusan, tali air dan parit-parit dalam kawasan sawah padi perlu diberikan perhatian.
“Saya percaya hasil padi dapat ditingkatkan sekiranya sungai dan tali air dicuci mengikut jadual. Malangnya ia tidak berlaku sehingga dipenuhi semak-samun dan tumbuhan liar menyebabkan tali air ‘sebak’ dan pesawah sukar dapatkan sumber air untuk mengairi sawah.
“Ada pula kejadian ‘air buang’ yang ‘tidak lepas’ sehingga menyebabkan sumber dari tali air melimpah membanjiri petak bendang.” katanya.
Menurutnya, apabila dimohon untuk melaksanakan pencucian terusan, alasan diberikan adalah tiada peruntukan.
“Perlu ada peruntukan sewajarnya untuk keperluan asas ini. Saya dimaklumkan kitaran pencucian terusan dan tali air yang dilaksanakan empat kali setahun kini kembali kepada dua kali setahun bermula tahun ini, ia sangat tidak wajar,” ujarnya.
Mohd Ashraf Mustaqim berkata, masalah kelewatan benih padi dan baja masih membelenggu pesawah dan seringkali menjejaskan jadual penanaman.
“Benih yang sampai ke tangan pesawah juga tidak berkualiti, ia diburukkan lagi dengan perubahan iklim yang mempengaruhi penghasilan padi.
“Difahamkan, kerajaan akan gubal Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tanaman yang akan jejaskan hak kebebasan pesawah untuk mengusahakan benih padi sendiri, sedangkan benih padi dihasilkan pesawah terbukti lebih berkualiti dan serasi dengan tanah.
“Pesawah di Kedah menyimpan 20 peratus hasil padi untuk dijadikan benih padi atas faktor kualiti dan kelewatan benih padi. Ini kerana harga benih padi tinggi di pintu kilang RM58 untuk 20 kilogran dan belum terbukti kualitinya atau ketahanan terhadap cuaca,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, hasil keuntungan rendah menyukarkan generasi muda untuk mewarisi kerjaya ini.
“Harga lantai belian padi RM1,500/tan tidak setimpal. Percampuran beras import dan beras tempatan membuktikan wujudnya kartel yang mengaut keuntungan sedangkan pesawah berada dalam rantaian paling bawah tertindas.
“Realitinya, keuntungan pesawah biarpun memiliki 10 relung, hasilnya masih bawah gaji minima RM1,700 sebulan. Keuntungan mereka antara RM1,000 hingga RM1,600 dibahagikan enam bulan dan ditolak kos input,” jelasnya.
Mohd Ashraf Mustaqim memaklumkan, julat umur pesawah di Kedah melebihi 55 tahun adalah lebih 50 peratus, mereka yang berusia 30-50 tahun sebanyak 20 peratus dan 20 tahun ke bawah hanya sekitar 10 peratus.
“Logikkah rpesawah berusia bekerja tanpa henti dengan pelbagai isu infrastruktur yang menyedihkan dalam usaha kita jayakan tanaman lima musim.
“Naikkan harga lantai belian padi kepada RM1,800/tan. hapuskan kartel dan berilah kebebasan kepada pesawah untuk jual benih padi mereka.
“Turunkan harga benih padi, perhalusi penyasaran subsidi kepada pesawah, tingkatkan infrastruktur serta gunakan benih berkualiti. Jika semua aspek diselaraskan, anak muda akan tertarik untuk ceburi sektor ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

