Bangkai penyu agar ditemui terdampar di Pantai Pelindung

Bangkai penyu agar jantan dewasa ditemukan terdampar di Pantai Pelindung. Foto ihsan Jabatan Perikanan Pahang.
Bangkai penyu agar jantan dewasa ditemukan terdampar di Pantai Pelindung. Foto ihsan Jabatan Perikanan Pahang.
A
A
A

KUANTAN - Seekor penyu agar jantan dewasa ditemukan mati terdampar di Pantai Pelindung di sini, dipercayai akibat lemas.

Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Muhammad Nur Ashry Bassari berkata, pihaknya ke lokasi penemuan bangkai haiwan tersebut bagi menjalankan pemeriksaan lanjut selepas menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Hasil pemeriksaan lanjut oleh pegawai di lokasi kejadian mendapati kepala penyu itu mengalami pembengkakan, selain terdapat kesan darah pada badannya.

“Penyu yang berukuran 87 sentimeter panjang dan 78 sentimeter lebar itu dipercayai mati akibat lemas,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tiga pegawai Jabatan Perikanan Pahang menjalankan siasatan sebelum melakukan kerja-kerja penanaman bangkai penyu itu. Foto ihsan Jabatan Perikanan Pahang.
Tiga pegawai Jabatan Perikanan Pahang menjalankan siasatan sebelum melakukan kerja-kerja penanaman bangkai penyu itu. Foto ihsan Jabatan Perikanan Pahang.

Pada Ahad, sekeping gambar mengenai penemuan reptilia terbabit yang terdampar di pesisir Pantai Pelindung tular di laman sosial Facebook.

Mengulas lanjut, Muhammad Nur Ashry berkata, bangkai penyu tersebut telah ditanam di kawasan berhampiran mengikut prosedur yang ditetapkan setelah siasatan selesai.

Beliau menasihatkan para nelayan agar tidak menggunakan pukat hanyut, pukat insang, atau sebarang jenis pukat dengan saiz mata melebihi 25.4 sentimeter (10 inci) yang beroperasi dari permukaan air hingga ke dasar laut, sama ada secara berhanyut atau bersauh.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, penggunaan alat tangkapan seperti itu merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

“Berdasarkan Peraturan-Peraturan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980 di bawah Seksyen 25 Akta Perikanan 1985, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau hukuman penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Muhammad Nur Ashry turut meminta nelayan agar melepaskan kembali penyu yang tersangkut pada pukat dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencederakan haiwan marin tersebut.

Pegawai daripada Jabatan Perikanan Pahang menanam bangkai penyu agar jantan mengikut prosedur. Foto ihsan Jabatan Perikanan Pahang
Pegawai daripada Jabatan Perikanan Pahang menanam bangkai penyu agar jantan mengikut prosedur. Foto ihsan Jabatan Perikanan Pahang

Selain itu, katanya, penggunaan alat penyisih penyu atau Turtle Excluder Device (TED) amat digalakkan, terutamanya bagi peralatan pukat tunda, sebagai langkah proaktif dalam usaha pemuliharaan penyu.

“Kerjasama dan keprihatinan komuniti nelayan amat diperlukan bagi memastikan kelangsungan populasi penyu di perairan negara.

“Kita juga akan terus memantau dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi memastikan pemuliharaan hidupan marin dapat dijalankan dengan berkesan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!