Tindakan tepat tidak teruskan debat agama - Aaron

PUTRAJAYA - Keputusan Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan untuk tidak meneruskan debat agama disifatkan sebagai tindakan tepat dalam menjaga keharmonian dan perpaduan.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang turut menghargai langkah pendakwah bebas, Muhammad Zamri Vinoth yang menyambut baik perkara itu.
"Saya ingin merakamkan terima kasih kepada Saravanan atas keputusan beliau untuk tidak meneruskan debat berkaitan agama dan saya juga hargai usaha Zamri," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ujar beliau, keputusan itu mengingatkan semua pihak mengenai pentingnya mengekalkan perpaduan dalam kalangan rakyat terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, budaya serta bangsa.
"Perpaduan bukan hanya sekadar slogan, tetapi harus diterjemahkan dalam tindakan dan sikap seharian kita," jelas Aaron.
Menurutnya, prinsip 'Faham, Hormat, dan Terima' diamalkan dapat membina masyarakat lebih harmoni dan sejahtera.
"Semoga keputusan ini dapat menjadi contoh teladan baik kepada kita semua untuk terus berusaha memperkukuhkan perpaduan dan saling menghormati antara satu sama lain.
"Keputusan ini adalah satu langkah positif yang mengingatkan kita tentang pentingnya menjaga keamanan dan keharmonian dalam negara yang pelbagai dan ia wajar dijadikan pedoman bagi generasi akan datang," katanya.
Jumaat lalu, Saravanan dilapor menetapkan tarikh debat bersama Muhammad Zamri pada 23 Mac ini, susulan kenyataan kontroversi pendakwah berkenaan yang membandingkan pembawa kavadi ketika sambutan Thaipusam dengan individu yang dirasuk atau mabuk.
Bagaimanapun, ia dibatalkan Saravanan selepas mengambil kira kepentingan keharmonian dan perpaduan kaum.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

