Contohi semangat golongan Hawariyun

CAMERON HIGHLANDS - Umat Islam diajak untuk menjadi Hawariyun kepada agama Nabi Muhammad SAW dengan memainkan peranan masing-masing dalam menyebarkan kebaikan dan mempertahankan ajaran Islam.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum & Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Mohd Shafiq Sahimi berkata, surah al-Saff menekankan kepentingan mencontohi semangat golongan Hawariyun iaitu pengikut setia Nabi Isa AS yang menjadi tulang belakang dalam perjuangan dakwahnya.
“Dalam kupasan surah ke-61, ALLAH SWT mengingatkan tiga cabaran utama umat iaitu keteguhan pendirian, bahaya kemunafikan dan penindasan terhadap kebenaran.
“Selain itu, ayat-ayat dalam surah ini turut menegaskan kepentingan berpegang teguh kepada keikhlasan dalam berjuang, menghindari kata-kata tanpa tindakan dan bekerja secara kolektif serta tersusun demi mencapai kejayaan di dunia dan akhirat,” katanya ketika Cameron Highlands #QuranHour sempena Kempen Ramadan Cameron Highlands 2025 di Puncak Arabella, Tanah Rata pada Jumaat lalu.

Turut hadir, Ketua Penolong Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tengku Azuddin Shah Tengku Alang; Pengarah Penyiaran RTM Pahang, Ariffin Awang dan Ketua Pegawai Operasi WUIF, Maslinda Mohd Esak.
Lebih 200 peserta dari pelbagai agensi kerajaan, persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti tempatan menyertai program tersebut.
Program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini dianjurkan Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), RTM, Puspanita, Majlis Daerah Cameron Highlands dan Pejabat Daerah Cameron Highlands dalam mengisi slot Jelajah Ramadan RTM 2025 Negeri Pahang.
Sesi dimulakan dengan bacaan Surah al-Fatihah dan Surah al-Saff yang dibimbing Qari Naqib Harith Mohd Halim, ditadabbur Dr Mohd Shafiq Sahimi serta dihoskan Daie Muda Yadim, Zaim Zamri.
Dr Mohd Shafiq turut menekankan kepentingan bertasbih sebagai jalan memperkukuh jiwa, menghadapi ujian hidup dan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.
“Mengambil ibrah peristiwa berlaku kepada nabi terdahulu, umat Islam diseru sentiasa bersatu dalam perjuangan, membangun barisan kukuh serta melaksanakan tugas masing-masing dengan penuh tanggungjawab dan istiqamah.
“Dengan kekuatan kesatuan dan keikhlasan dalam berjuang, ALLAH SWT akan mengurniakan ganjaran besar kepada mereka yang membela agama-Nya,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKCH, Datuk Zaman Azam Mohamat Sarif @ Ahmat yang diwakili Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan PKCH, Rafidah Mohamad, dalam ucapannya berkata, Cameron Highlands #QuranHour bukan sekadar program, tetapi satu wadah dalam membentuk pemikiran berasaskan nilai-nilai kitab suci demi pembangunan individu, organisasi dan masyarakat secara holistik.
“Sebagai agensi peneraju kepada pembangunan Cameron Highlands yang mampan dan inklusif, PKCH sentiasa komited dalam memastikan kesejahteraan ekonomi, sosial dan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.
“Berpandukan ayat ke-4 dalam surah al-Saff, ia menggariskan kepentingan kesatuan dan kepimpinan berwibawa dalam mencapai sesuatu matlamat. Dalam konteks Cameron Highlands, kejayaan pembangunan mampan hanya dapat dicapai melalui kesepaduan antara pentadbiran, jabatan kerajaan, agensi, persatuan, dan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berharap semua pihak dapat meneruskan kerjasama secara profesional dan dengan integriti tinggi dalam menguruskan pembangunan Cameron Highlands, di samping mengamalkan semangat kerja berpasukan demi mencapai matlamat bersama.
Menurut Rafidah, #QuranHour kali kedua bertujuan menggalakkan pengisian ilmiah sempena Ramadan dan merupakan pendekatan baru PKCH kepada orang luar bahawa Cameron Highlands dijadikan tempat melancong di bulan puasa.
“Harga produk di Cameron Highlands lebih murah daripada biasa pada bulan puasa. Kita berharap lebih ramai pelancong datang untuk berbuka puasa dalam keadaan sejuk, tenang dan nyaman di sini.
“Selain itu, pemain industri pelancongan seperti hotel dan inap desa turut menawarkan harga penginapan dan bufet Ramadan menarik. PKCH menyasarkan 104,950 pelancong di sepanjang Ramadan ini,” jelasnya.
Kempen Ramadan dengan kerjasama pelbagai pihak mengadakan aktiviti seperti Seminar Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR), Program Jelajah Ramadan RTM 2025 Negeri Pahang, Program Bubur Lambuk Perdana, Ramadan Sejahtera, Iftar Perdana Peringkat Daerah Cameron Highlands, Rasa Ramadan di tiga lokasi bazar (Tanah Rata, Ringlet dan Brinchang), Ramadan Hijau dan Ramadan Sihat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
