Status quo dua ADUN Bersatu Pulau Pinang kekal

Zolkifly (kiri) dan Khaliq (dua dari kiri) bertemu Kon Yeow (dua dari kanan) di Pejabat Ketua Menteri, Kompleks Tunku Abdul Rahman (Komtar) di sini tadi.
Zolkifly (kiri) dan Khaliq (dua dari kiri) bertemu Kon Yeow (dua dari kanan) di Pejabat Ketua Menteri, Kompleks Tunku Abdul Rahman (Komtar) di sini tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Status quo dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang setakat ini kekal sehingga keputusan lanjut daripada kerajaan Persekutuan dibuat kelak.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Teh Lai Heng berkata, perkara itu diputuskan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow selepas pertemuan dengan ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim sebentar tadi.

"Dalam perjumpaan tersebut, kedua-dua ADUN berkenaan menyatakan sokongan terhadap Ketua Menteri dan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan media tadi.

Terdahulu, Khaliq dan Zolkifly mengadakan pertemuan bersama Kon Yeow di Pejabat Ketua Menteri, Kompleks Tunku Abdul Rahman (Komtar) di sini tadi.

Khaliq tiba pada jam 12.46 tengah hari manakala Zolkifly pada jam 12.55 tengah hari.

Mereka ditemani pegawai khas masing-masing untuk bertemu Kon Yeow dipercayai bagi membincangkan situasi politik ketika ini.

Usaha untuk mendapatkan komen daripada wakil rakyat itu bagaimanapun gagal apabila mereka enggan bertemu media.

Pertemuan sulit itu diadakan tanpa jemputan media.

Artikel Berkaitan:

Tiga hari lalu, Bersatu mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

Perkara itu diumumkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melalui satu kenyataan dengan menyatakan ia diputuskan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dalam mesyuarat khas yang diadakan 24 Februari lalu.