PRN Sabah: Pemuda Gagasan Rakyat akan hantar lima nama calon

KOTA KINABALU – Pemuda Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) telah mengemukakan lima nama calon untuk dipertimbangkan Presiden, Datuk Seri Hajiji Noor bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Fairuz Renddan berkata, senarai tersebut akan diserahkan dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dijadualkan pada Selasa.
"Kalau di peringkat Pemuda, memang kita ada kemukakan cuma belum dimuktamadkan, kita bercadang lima nama untuk diketengahkan dalam PRN akan datang namun kita masih perlukan perbincangan lagi.
"Insya-ALLAH kita akan hantar untuk perhatian presiden, memandangkan esok ada mesyuarat AMT GRS jadi kita akan kemukakan esok senarai calon Pemuda," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama pengamal media di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan senarai nama yang akan dihantar itu terdiri daripada muka baharu dan lama untuk dipertimbangkan.
"Ada yang nama sedia ada dan ada juga yang sepatutnya menjadi calon pada PRN16 lalu, ada muka baharu yang dilihat mempunyai kekuatan sebagai calon serta boleh memimpin," katanya.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan itu menegaskan bahawa pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada presiden untuk menentukan calon serta agihan kerusi yang akan ditandingi parti.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai hasrat mempertahankan kerusi yang disandangnya ketika ini, Fairuz menyatakan kesediaannya sekiranya masih diberikan kepercayaan oleh pucuk pimpinan dan rakyat di kawasan berkenaan.
"Untuk saya di DUN Pintasan memang kita mahu mengekalkan tetapi kalau ada kepercayaan daripada presiden, Insya-ALLAH kita akan mempertahankan kerusi tersebut.
"Apa-apa pun kita akur dengan keputusan presiden, tapi selagi rakyat di DUN Pintasan masih mahu saya menjadi wakil rakyat mereka, Insya-ALLAH saya akan pertahankan dan juga perjuangkan mereka," katanya.
Dalam perkembangan sama, Fairuz berkata, Hajiji berhak mengumumkan calon di sesebuah kerusi DUN milik parti tersebut.
"Bagi saya, setiap presiden parti ataupun badan pimpinan negeri, mereka masing-masing berhak untuk bercakap. Tapi, untuk yang baru-baru ini saya sendiri hadir berbuka puasa di DUN Tempasuk.
"Biasalah kita faham Ketua Menteri ini kadang-kadang serius, kadang-kadang bergurau tetapi, dia umum penyandang, Datuk Arsyad Bestari akan kekal bertanding di DUN tersebut.
"Tapi, bagi saya tidak ada masalah untuk beliau selaku presiden mengatakan sedemikian kerana itu adalah kerusi yang sedia ada untuk Gagasan Rakyat dan bukan menganggu mana-mana kerusi parti lain," katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa kerusi yang disentuh Hajiji itu juga bukan milik Pakatan Harapan (PH).
"Kita bukan umum kerusi yang ditandingi PH atau disandang PH ketika ini, jadi saya rasa tidak ada masalah.
"Dalam masa sama, kita juga tiada halangan untuk Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud menyatakan pandangan bagi pihak PH," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
