JDT: Antara impian dan realiti pentas tertinggi Asia

PENYOKONG setia Harimau Selatan boleh mula bermimpi kerana Johor Darul Ta’zim (JDT) kini berada di ambang sejarah baharu dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2025.
Jika berjaya menumbangkan Buriram United dalam perlawanan kedua pusingan 16 terakhir malam ini, JDT bakal melangkah ke suku akhir dan muncul sebagai satu-satunya wakil Asia Tenggara dalam kelompok lapan pasukan terbaik Asia.
Ini kerana keputusan seri tanpa jaringan di Thailand pada minggu lalu memberi kelebihan besar buat JDT.
Dengan kelebihan beraksi di halaman dan ribuan penyokong sendiri di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), ia pastinya menjadi medan pembakar semangat buat skuad kendalian Hector Bidoglio.
Malah, statistik musim ini juga jelas menyebelahi mereka di pentas domestik dan ACLE apabila SSI ibarat kubu kebal buat Harimau Selatan.
Berdasarkan keputusan ACLE di peringkat kumpulan Zon Timur sebelum ini, JDT melakar keputusan positif di SSI dengan menundukkan Ulsan Hyundai (3-0), Pohang Steelers (5-2) dan Shanghai Shenhua (3-0) sebelum seri tanpa jaringan dengan Buriram.
Namun, perlawanan malam ini bukan sekadar angka dan rekod di atas kertas semata-mata. Peluang kedua-dua pasukan masih seimbang, bergantung kepada corak permainan dan prestasi pemain di hari perlawanan.
Tetapi, JDT bukan calang-calang pasukan. Nafsu besar untuk menakluki ACLE terbukti dengan kehadiran ramai pemain import gred A.
Sejak Januari lalu, JDT telah menandatangani beberapa pemain bintang dari Eropah seperti Jese Rodriguez (bekas pemain Real Madrid), Alvaro Gonzalez (bekas pemain Villareal), Roque Mesa (bekas pemain Swansea City) dan Samu Castillejo (bekas pemain AC Milan).
Jika itu belum cukup menakutkan lawan, Harimau Selatan juga memiliki pemain tempatan berbisa seperti Arif Aiman Hanapi yang sudah mengumpul lima gol dan dua bantuan jaringan dalam sembilan perlawanan ACLE musim ini.
Untuk rekod, aksi suku akhir hingga final ACLE akan berlangsung secara berpusat di Arab Saudi bermula 25 April hingga 4 Mei depan.
Kini, segala-galanya bergantung kepada langkah yang seterusnya.
Adakah JDT mampu melakar sejarah baharu atau sekadar melihat Buriram meneruskan kemaraan lebih jauh di pentas Asia?
Malam ini bakal menjadi saksi jawapannya!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

