PSG tendang Liverpool dari Liga Juara-Juara

Reaksi pemain Liverpool selepas tewas kepada PSG. Foto AFP
Reaksi pemain Liverpool selepas tewas kepada PSG. Foto AFP
A
A
A

PARIS Saint-Germain (PSG) melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas menewaskan Liverpool 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi sengit pusingan 16 terakhir di Anfield, awal pagi Rabu.

Penyerang PSG, Ousmane Dembele meledak gol tunggal perlawanan timbal balik itu pada minit ke-12 untuk mengikat agregat 1-1 sekali gus memaksa perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti.

Dalam penentuan penalti, penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma menjadi wira apabila menyelamatkan dua sepakan Liverpool yang diambil oleh Darwin Nunez dan Curtis Jones, manakala pemain PSG berjaya menyempurnakan kesemua sepakan mereka.

Dengan kemenangan ini, pendahulu Ligue 1 itu akan bertemu sama ada Aston Villa atau Club Brugge di peringkat suku akhir, dengan Villa membawa kelebihan 3-1 menjelang aksi timbal balik pada Khamis.

Liverpool yang mendominasi permainan dikejutkan dengan gol awal Dembele yang memanfaatkan kekeliruan benteng pertahanan.

Ibrahima Konate cuba menghalang percubaan Bradley Barcola tetapi bola melantun ke arah Ousmane Dembele yang tidak mensia-siakan peluang di depan gawang kosong.

Gol itu merupakan yang paling awal dibolosi Liverpool di Anfield dalam saingan Liga Juara-Juara sejak September 2017 ketika menentang Sevilla.

Kekalahan ini sekali gus menamatkan perjalanan skuad The Reds dalam kejohanan berprestij Eropah musim ini, sementara PSG meneruskan pemburuan gelaran pertama mereka di pentas Liga Juara-Juara.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!