OKU buta punyai kelebihan hafal Quran kerana tiada ‘dosa mata’ - Nassuruddin

Mohd Nassuruddin (dua dari kanan) bersalaman dengan OKU yang hadir di Putik, Pengkalan Chepa, Kota Bharu. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Mohd Nassuruddin (dua dari kanan) bersalaman dengan OKU yang hadir di Putik, Pengkalan Chepa, Kota Bharu. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU - Golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan mempunyai kelebihan luar biasa dalam menghafal al-Quran kerana mereka tidak terdedah kepada ‘dosa mata’ dan lebih mudah fokus dalam pembelajaran, kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau berkata, ALLAH SWT mengurniakan keistimewaan kepada mereka dengan daya ingatan yang lebih kuat, membolehkan mereka menghafal al-Quran hanya dengan mendengar sekali sahaja.

“Mereka tidak mempunyai dosa mata, justeru hati mereka lebih bersih dan sebab itu, mereka lebih mudah menghafal al-Quran berbanding orang celik.

“Ada di antara mereka yang mendengar bacaan sekali sahaja dan sudah boleh mengingatinya,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Mahabbah Ramadan bersama 600 orang kurang upaya di Pusat Tarbiah Islamiah (Putik), Pengkalan Chepa di sini pada Isnin.

Turut hadir Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Kelantan, Rohani Ibrahim.

Mohd Nassuruddin (tiga dari kanan) yang bersama-sama meraikan 600 OKU di Kelantan. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Mohd Nassuruddin (tiga dari kanan) yang bersama-sama meraikan 600 OKU di Kelantan. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Menurut Mohd Nassuruddin, dalam masyarakat Arab dan Mesir, hafalan al-Quran dijadikan syarat wajib bagi mereka yang ingin mendalami ilmu syariah, berbeza dengan masyarakat Melayu yang masih belum menekankan aspek itu secara menyeluruh.

“Masyarakat kita masih kurang pendedahan tentang perkara ini.

Artikel Berkaitan:

“Di Mesir, seseorang yang ingin belajar syariah wajib hafal al-Quran terlebih dahulu, tetapi di sini, kita belum sampai ke tahap itu,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri mahu melihat lebih ramai golongan OKU penglihatan di Kelantan menjadi hafiz al-Quran dengan menyediakan lebih banyak inisiatif dan peluang pembelajaran kepada mereka.

Katanya, pihaknya akan berusaha memperkasakan pendidikan agama dalam kalangan OKU penglihatan bagi memastikan mereka mendapat manfaat yang sama seperti individu normal.

“Kita tidak mahu mereka dipinggirkan dalam arus pendidikan Islam.

“Mereka sepatutnya menjadi hafiz Quran dan kita perlu membantu mereka ke arah itu,” katanya.

Berdasarkan statistik sehingga 31 Disember 2024, Kelantan merekodkan seramai 4,527 individu dalam kategori OKU penglihatan daripada keseluruhan 52,968 OKU yang berdaftar di negeri itu.

Usaha kerajaan negeri untuk memperkasakan pendidikan agama dalam kalangan mereka diharap dapat meningkatkan lagi jumlah hafiz al-Quran dalam golongan istimewa ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!