Setiap lori terlibat kemalangan akan diaudit - Anthony Loke

SEMENYIH - Bukan setakat audit syarikat lori bermasalah tetapi tindakan tegas termasuk gantung permit kenderaan akan dikenakan sekiranya gagal mematuhi peraturan ditetapkan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, mana-mana lori yang terlibat dalam apa jua jenis kemalangan akan diaudit oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA), seterusnya laporan akan dihantar kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Beliau berkata, perkara tersebut akan menjadi sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) siasatan ke atas lori yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.
"Terdapat tujuh atau lapan aspek yang akan diaudit oleh pihak JPJ apabila berlaku kemalangan melibatkan lori.
"Laporan audit itu kemudiannya akan dihantar kepada APAD bagi dikenakan tindakan termasuk menggantung operasi dan permit kenderaan," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.
Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi khas dan majlis berbuka puasa bersama anggota penguatkuasa di Stesen Penguatkuasa JPJ Semenyih, di sini.
Hadir sama Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Aedy Fadly Ramli; Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan.
Dalam operasi dijalankan pada Isnin, JPJ menyita sebuah kenderaan dan mengeluarkan 124 saman pelbagai kesalahan selepas melakukan pemeriksaan ke atas 218 kenderaan.
Mengulas lanjut, Anthony memaklumkan, lebih 1,000 kenderaan telah digantung Lesen Pengendali akibat ketidakpatuhan terhadap keselamatan jalan raya.
Tegas beliau, aspek pematuhan peraturan jalan raya bukan suatu yang bermusim, sebaliknya perlu diberi keutamaan pada setiap masa.
Katanya, mungkin ada pihak yang tidak menyenangi apa yang dilakukan tersebut, namun ia perlu dilaksanakan demi keselamatan semua pengguna jalan raya.
Untuk itu menurutnya, semua pihak perlu memberi perhatian dan penekanan terhadap aspek keselamatan kenderaan yang digunakan.
Sementara itu ditanya mengenai penggunaan kamera badan pada anggota JPJ, beliau berkata, perkara tersebut masih di peringkat perolehan.
Kata beliau, selain perbincangan lanjut diadakan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), proses perolehan aset itu juga dilakukan bersama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Ini kerana PDRM sudah membuat perolehan kamera badan, jadi kita sedang berbincang dengan pihak KDN untuk membolehkan kita membuat proses perolehan secara bersama," ujarnya.
Sementara itu katanya, mengenai polisi dan garis panduan pendawaian tambahan berkaitan penggunaan soket 3-pin dan pengecas mudah alih USB dalam bas ekspres masih diperhalusi sebelum ia dimuktamadkan.
Beliau berkata, setakat ini larangan berkaitan penggunaan soket 3-pin dan USB dalam bas ekspres masih berkuat kuasa.
Katanya, pihaknya juga bekerjasama dengan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) membangunkan garis panduan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
