Tiada kes keracunan makanan di bazar Ramadan Kelantan - JKNK

Dr Zaini (kanan) menunjukkan kod QR aduan kebersihan premis makanan yang dilancarkan pada Isnin
Dr Zaini (kanan) menunjukkan kod QR aduan kebersihan premis makanan yang dilancarkan pada Isnin
A
A
A

MACHANG - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) tidak menerima sebarang laporan kes keracunan makanan membabitkan semua bazar Ramadan di negeri ini dalam tempoh 9 hari berpuasa.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, jabatan itu melakukan pemeriksaan bagi memastikan peniaga di bazar Ramadan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Menurut beliau, persampelan untuk tahun ini akan dilaksanakan bermula minggu kedua Ramadan dan secara umumnya tahap kebersihan adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya pada minggu pertama Ramadan.

"Bagi persampelan bazar Ramadan untuk tahun 2024 terdapat 62 sampel makanan diambil dengan jumlah pelanggaran sebanyak 16 sampel dikenakan denda membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM7,850," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Walkabout Bazar Ramadan 2025 dan Pelancaran Kod QR Aduan Kebersihan Premis Makanan di Dataran Kenanga pada Isnin.

Dr Zaini memberitahu, usaha pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan dapat menjamin keselamatan dan kualiti makanan serta mencegah penyakit bawaan air dan makanan dalam kalangan pengunjung bazar Ramadan.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat Ahad, sebanyak 97 notis kompaun terhadap pengendali makanan bazar Ramadan di negeri ini dikeluarkan dengan nilai keseluruhan RM10,900.

"Kompaun yang dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 itu melibatkan pelbagai kesalahan termasuk pemakaian pengendali makanan serta kebersihan diri," katanya.

Dr Zaini menjelaskan, sebanyak 830 gerai dan 1,967 pengendali makanan di seluruh negeri diperiksa dalam tempoh itu.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau lagi, JKNK menubuhkan 59 pasukan pemantau termasuk 240 orang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Pembantu Kesihatan Awam yang akan menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di semua bazar Ramadan.

Sebanyak 73 bazar Ramadan berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri membabitkan 4,336 petak perniagaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!