MPPn tidak pernah keluarkan lesen, permit jual bunga api di bazar Ramadan

PONTIAN – Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) menegaskan tidak pernah mengeluarkan permit atau lesen penjualan bunga api di mana-mana kawasan Bazar Ramadan di bawah seliaannya.
Merujuk kepada isu peniaga bunga api di Bazar Ramadan di Ayer Baloi yang tular di media sosial, MPPn menegaskan permit penjualan bunga api sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Bagaimanapun, PDRM akan mohon ulasan sokongan dari pihak MPPn berkenaan kesesuaian lokasi perniagaan bunga api tersebut.
"Terdapat 56 permohonan untuk mendapatkan kelulusan penjualan bunga api dan hanya 27 permohonan sahaja yang disokong oleh pihak MPPn.
"Permohonan berniaga bunga api seperti mana yang telah tular di Bazar Ramadan Ayer Baloi adalah termasuk dalam 29 permohonan yang tidak disokong oleh MPPn kerana ketidaksesuaian lokasi," katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook MPPn.
Sebelum itu, pada tular di media sosial luahan rasa tidak puas seorang peniaga makanan apabila mendapati ada pihak yang menjual bunga api di Bazar Ramadan Ayer Baloi.
Peniaga tersebut mendakwa tapak bazar tersebut sepatutnya dikhaskan untuk penjual makanan juadah berbuka puasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

