Niat bersedekah, pemilik kedai agih 1,000 kampit beras percuma

Siti Fatimah (kanan) mengagihkan beras kepada golongan memerlukan
Siti Fatimah (kanan) mengagihkan beras kepada golongan memerlukan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pemilik kedai runcit di sini mengagihkan 1,000 kampit beras secara percuma kepada golongan asnaf dan kurang berkemampuan sempena Ramadan.

Pemilik Gemilang Speed Mart, Siti Fatimah Mohamed Farook berkata, sumbangan beras lima kilogram (kg) itu merupakan infak daripada beliau dan enam adik-beradiknya bagi membantu mereka yang memerlukan.

Siti Fatimah
Siti Fatimah

“Alhamdulillah, ini tahun ketiga kami jalankan program infak ini. ALLAH beri rezeki lebih, jadi kami mahu berkongsi dengan mereka yang susah.

“Kami sasarkan bantuan kepada ibu tunggal, anak yatim dan asnaf. Harap sumbangan ini dapat meringankan beban mereka sepanjang bulan puasa,” katanya ketika ditemui pada Isnin.

Orang ramai mula beratur sejak jam 1.30 petang untuk mendapatkan beras yang diinfak
Orang ramai mula beratur sejak jam 1.30 petang untuk mendapatkan beras yang diinfak

Tinjauan Sinar Harian mendapati orang ramai mula beratur sejak jam 1.30 petang bagi mendapatkan nombor giliran sebelum agihan bermula pada jam 3 petang. Kesemua beras habis diagihkan dalam tempoh sejam setengah.

Suri rumah, Syamimi Rosli, 39, berkata, dia bersyukur menerima bantuan tersebut kerana beras di rumahnya sudah habis.

“Sekarang harga beras mahal. Jadi sumbangan ini sangat membantu kami sekeluarga,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi suri rumah, Syazana Abu Bakar, 31, berkata, dia turut berkongsi perasaan terharu dengan bantuan yang diterima.

"Terima kasih kepada pemilik kedai ini sebab bantu ringankan berbelanja kami sekeluarga lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai tanggungan ramai di rumah," ujarnya.

Bagi, Nabihah Mamat, 33, pula berkata, bantuan beras ini amat bermakna kerana suaminya tidak mampu bekerja.

"Alhamdulillah, rezeki anak-anak. Beras ini cukup untuk seminggu atau lebih, sangat membantu ringankan beban kami," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!