Pengendali Buriram United mahu pemain fokus berdepan JDT

Osmar Loss
Osmar Loss
A
A
A

PENGENDALI Buriram United, Osmar Loss mahu skuad kendaliannya kekal fokus selain berada dalam keadaan terbaik dari segi mental dan fizikal bagi mengharungi aksi kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), menentang Johor Darul Ta'zim (JDT), di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.

Menurutnya, aksi berdepan pasukan Harimau Selatan itu dilihat penting bagi memastikan skuad Thunder Castle mampu mara lebih jauh dalam saingan ACLE kali ini.

"Kami berada dalam perlawanan yang sangat penting dan kritikal kerana ia merupakan perlawanan terakhir dalam pusingan ini.

"Pemain perlu yakin dengan mengikuti pelan permainan dan mengekalkan fokus sepanjang perlawanan jika mahu melakar kejayaan di sini.

"Selain itu pemain juga perlu menekankan kepentingan bagi menyesuaikan diri dengan tempo permainan, terutamanya selepas melihat kelajuan permainan pada aksi pertama lalu," katanya dalam sidang akhbar pra-perlawanan pada Isnin.

Untuk rekod. kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada aksi pertama pusingan 16 di Stadium Chang, 4 Mac lalu.

Tambah Loss, pihaknya akan memastikan kesebelasan pemain cergas sepenuhnya sebelum memulakan perlawanan.

Katanya, keadaan itu penting bagi berdepan sebarang perubahan khususnya melibatkan tempo perlawanan.

"Tempo permainan mungkin berubah jika ada jaringan awal, jadi kami mesti bersedia bagi menyesuaikan diri serta mengikut rentak intensiti perlawanan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai persediaan pasukannya jika perlawanan berlanjutan ke masa tambahan atau penentuan sepakan penalti, Loss berkata, mereka sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

"Kami tidak mempunyai masalah. Kami mendapat tempoh seminggu untuk membuat persiapan selepas dua bulan tanpa rehat panjang.

"Saya sangat gembira dengan kerja keras pasukan dan strategi yang telah dirancang. Jika boleh memilih, saya mahu perlawanan ini berakhir lebih awal, tetapi itu mustahil dan kami bersedia bermain selama 90 minit, masa tambahan atau sehingga penentuan penalti jika perlu," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!