Tun M tiba di Istana Negara

Anggota polis dan pengamal media yang berada di hadapan Pintu 2 Istana Negara.
Anggota polis dan pengamal media yang berada di hadapan Pintu 2 Istana Negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Istana Negara hari ini untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kenderaan rasmi Dr Mahathir dilihat memasuki Istana Negara melalui Pintu 2 istana pada jam 10.55 pagi.

Media masih cuba mendapatkan pengesahan berhubung tujuan kehadiran Dr Mahathir di Istana Negara namun dipercayai bagi membincangkan mengenai jawatan Perdana Menteri ke-8 selepas beliau meletakkan jawatan Isnin lalu.

Ini kerana nama beliau antara disebut untuk terus menyandang kerusi pemimpin nombor satu itu selain Pakatan Harapan (PH) menamakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam, Dr Mahathir melalui perutusan khas yang disiarkan secara langsung memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana keadaan politik negara yang agak kucar-kacir dan mungkin menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

PH pula sebulat suara menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Berdasarkan maklumat diperoleh, Anwar turut dijangka memasuki Istana Negara melalui Pintu 1 istana pada hari ini untuk menghadap baginda namun kesahihannya masih belum dapat disahkan.

Sebelum itu, seramai 221 Ahli Parlimen mewakili pelbagai parti politik mempersembah nama calon Perdana Menteri untuk dipertimbang Yang di-Pertuan Agong pada semalam dan kelmarin.

Artikel Berkaitan: