R&R sementara di LTU dijangka siap sebelum Aidilfitri

LIPIS – Pengguna Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) bakal menikmati kemudahan Rehat dan Rawat (R&R) sementara yang dijangka siap seminggu sebelum Aidilfitri.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi pembinaan kemudahan itu di beberapa lokasi strategik sepanjang LTU.
"Ini hasil perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengenai keperluan mendesak pengguna lebuh raya, terutama ketika musim perayaan.
"Ramai berdepan kesukaran seperti tiada tempat sesuai untuk berehat atau membuang lampin pakai buang anak-anak serta keperluan asas lain. Alhamdulillah, kerajaan pusat memberikan maklum balas positif.
"Insya-ALLAH, dua atau tiga lokasi R&R sementara akan dibina dan dijangka siap sebelum raya," katanya selepas Program Gerak Rahmah: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Negeri Pahang 2025 di Kampung Tanjung Gahai, di sini pada Ahad.
Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy turut memaklumkan bahawa hasil perbincangan bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Sabtu, kerajaan Selangor secara prinsip bersetuju dengan kenaikan kadar bayaran air mentah yang disalurkan dari Pahang ke negeri itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

