DBKL alih khemah rosak akibat ribut di bazar Ramadan Setapak Indah

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan segera mengalihkan khemah petugas dan peniaga yang rosak akibat ribut di Bazar Ramadan Bazaria Taman Setapak Indah di sini pada petang Sabtu.
DBKL memaklumkan, insiden itu susulan kejadian khemah petugas yang diterbangkan angin dan menghempap khemah peniaga lain di bazar tersebut.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, perbincangan telah diadakan dengan peniaga untuk mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah itu dan peniaga yang terlibat menyuarakan keperluan untuk mendapatkan khemah baharu.
"Selain itu, peniaga turut mencadangkan agar khemah dirapatkan bagi mengelakkan kejadian sama berulang," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, seorang pengguna media sosial memuat naik video memaparkan sebuah khemah putih dipercayai yang diduduki petugas DBKL diterbangkan angin sebelum menghempap beberapa khemah peniaga lain di bazar Ramadan terbabit.
Mengulas lanjut, DBKL berkata, pihaknya telah melakukan penukaran khemah petugas pada malam Sabtu bagi memastikan kelancaran operasi bazar.
"DBKL sentiasa berusaha dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan peniaga serta pengunjung," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
