PRK Ayer Kuning: DUN Mahkota, Nenggiri jadi panduan - Ahmad Maslan

PONTIAN - Pemilihan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Perak perlu mengambil kira strategi yang telah terbukti berkesan dalam PRK Mahkota dan Nenggiri sebelum ini.
Ketua Sekteriat War Room UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kekuatan jentera dan pendekatan digunakan menyatuni pengundi boleh dijadikan panduan bagi memastikan kemenangan calon.
“Mahkota di Johor dan Nenggiri di Kelantan menunjukkan kepentingan memilih calon yang mampu bergerak selari dengan kerajaan Pusat.
"Ia penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan dan kebajikan rakyat di kawasan DUN terbabit,” katanya.
Ahli Parlimen Pontian itu ditemui pada majlis berbuka puasa bersama agensi kerajaan pusat, negeri dan kepimpinan masyarakat setempat di Benut di sini, pada Ahad.
Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 10 pusat tahfiz berdaftar di Pontian iaitu 100 kilogram beras bagi setiap tahfiz dan wang tunai.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu turut menegaskan calon yang bakal dipilih kelak, perlu memahami keperluan masyarakat setempat bagi meneruskan legasi kepimpinan terdahulu.
“Saya menerima maklum balas positif daripada penduduk tentang Allahyarham Ishsam Shahrudddin. Sudah dua kali, saya ke Ayer Kuning iaitu pada 26 Februari dan Jumaat lepas.
"Arwah sangat dekat dengan rakyat dan memahami denyut nadi masyarakat. Oleh itu, calon yang dipilih mestilah mempunyai ciri kepimpinan yang sama,” ujarnya.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Pada 7 Mac lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.
Ini adalah PRK ke-11 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu PRK Parlimen Kuala Terengganu, Terengganu; PRK DUN Simpang Jeram, Johor; PRK Parlimen Pulai, Johor; PRK DUN Pelangai, Pahang; PRK DUN Jepak, Sarawak; PRK Parlimen Kemaman, Terengganu; PRK DUN Kuala Kubu Baharu; PRK Sungai Bakap; PRK DUN Neggiri dan DUN Mahkota, Johor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

