PRK Ayer Kuning: Pengundi muda tak mudah terpedaya helah Pas

Khairol Najib.
Khairol Najib.
A
A
A

IPOH – Pengundi muda semakin bijak menilai dan tidak mudah terpedaya dengan retorik politik pembangkang yang sering memainkan sentimen kebencian serta menjanjikan perkara yang tidak realistik.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Khairol Najib Hashim berkata, keyakinan Pemuda Pas yang melangit bahawa pengundi muda akan memihak kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning itu sekadar sandiwara politik biasa mereka.

Menurutnya, anak muda kini lebih cenderung kepada politik matang yang menawarkan penyelesaian konkrit terhadap isu-isu utama seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan perumahan.

"Kami melihat pengundi muda hari ini tidak lagi tertarik dengan politik kebencian yang dimainkan oleh pembangkang, terutamanya Pas-PN.

"Mereka mahu solusi sebenar, bukan retorik kosong yang hanya memecahbelahkan rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Khairol Najib berkata, keyakinan ditunjukkan oleh Pemuda Pas itu juga disifatkan khayalan semata-mata.

Menurutnya, Pas sendiri ketika ini parti sedang berdepan pelbagai masalah dalaman termasuk isu fitnah yang berulang kali mencemarkan kredibiliti mereka.

"Lucu melihat keyakinan Pemuda PAS yang melangit, sedangkan rekod mereka di Perak hanya dipenuhi dengan politik fitnah dan perpecahan.

"Pesuruhjaya mereka sendiri direhatkan baru-baru ini kerana isu fitnah berulang kali," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Khairol Najib berkata, sayap Pemuda parti-parti dalam kerajaan Perpaduan mereka memilih untuk turun ke lapangan dan menyelesaikan isu rakyat secara langsung.

Beliau turut menempelak taktik pembangkang yang didakwa menggunakan agama sebagai alat politik untuk meraih sokongan anak muda.

"Kami bukan seperti mereka yang menjual kebencian kaum dan agama demi kepentingan politik. Pendekatan kami jelas, iaitu membawa isu sebenar dan penyelesaian konkrit kepada masalah pengundi muda.

"Program-program kami juga tidak akan menggunakan agama sebagai modal politik kerana kami menghormati kesuciannya, tidak seperti sesetengah pihak yang memperalatkan agama demi kepentingan politik murah," katanya.

Semalam Sinar Harian melaporkan Ketua Pemuda Pas Perak, Hafez Sabri optimis bahawa Pas dan PN berpeluang besar untuk memenangi PRK tersebut melalui segmen pengundi muda sekiranya strategi yang betul digunakan serta sentimen rakyat terhadap kerajaan sedia ada diterjemahkan dalam bentuk undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Jumaat mengumumkan tarikh bagi Penamaan Calon PRK DUN Ayer Kuning akan dilaksanakan pada 12 April depan, diikuti Undi Awal pada 22 April manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 26 April membabitkan 31,897 pengundi berdaftar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!