BN Perak jumpa Zahid bincang muktamad calon PRK Ayer Kuning

IPOH - Barisan Nasional (BN) Perak akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu depan bagi mengemukakan dapatan di lapangan sebelum memuktamadkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya sudah membuat tinjauan pendapat di peringkat akar umbi terhadap enam calon yang dipertimbangkan mewakili BN dalam PRK tersebut.
Menurutnya, tinjauan tersebut dibuat bagi mencari calon terbaik untuk memastikan kemenangan di kerusi DUN tersebut kekal.
"Kita ada organisasi yang membuat kajian di lapangan bagi keenam-enam calon untuk lihat dalam kalangan enam ini siapa yang terbaik.
"Jadi, insya-ALLAH pada hari Rabu selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi, saya akan bertemu dengan Presiden Parti (Ahmad Zahid) untuk mempersembahkan hasil dapatan di lapangan itu," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Perak di Laman Seri Ridzuan di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Saarani optimis BN akan terus mengekalkan kemenangan di kerusi DUN Ayer Kuning tersebut berdasarkan rekod perkhidmatan yang dilaksanakan oleh wakil rakyat sebelumnya.
Menurutnya, keputusan di PRK berkenaan juga tidak akan memberi kesan terhadap kedudukan kerajaan sedia ada.
"Adalah pelik bagi pengundi di DUN Ayer Kuning jika sekarang kawasan kerajaan menjadi pembangkang sebab keputusan PRK DUN Ayer Kuning tidak akan mengubah kerajaan.
"Jadi lebih baik mereka memilih wakil rakyat kerajaan sebab wakil rakyat kerajaan akan lebih mudah untuk membangunkan kawasan tanpa perlu maki hamun orang," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Saarani yang juga Menteri Besar Perak memaklumkan bahawa tiada pindaan tarikh dibuat setakat ini berkaitan pembukaan Sidang DUN Perak yang dijadual bermula 15 hingga 22 April depan.
Menurutnya, perjalanan PRK yang akan bermula pada 12 hingga 26 April tidak akan terganggu dengan persidangan DUN tersebut.
Katanya, jentera kempen yang dibantu dari seluruh negara akan bekerja seperti biasa walaupun wakil rakyat di Perak tidak dapat berada di lapangan sepanjang masa disebabkan sidang DUN.
Pada Jumaat, media melaporkan UMNO akan meneliti senarai nama yang dikemukakan BN Perak untuk memilih calon yang akan diangkat mewakili parti pada PRK DUN Ayer Kuning.
Ahmad Zahid berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat bersama Saarani dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

