Usaha tubuh kerajaan perpaduan gagal jika...

MD SHUKRI
MD SHUKRI
A
A
A

ALOR SETAR - Usaha awal menubuhkan kerajaan perpaduan yang gagal dimuktamadkan kelmarin berpunca daripada wujudnya elemen perkauman, agama dan budaya pelbagai yang menjadi halangan dalam penyatuan politik.

Presiden Persatuan Demokrasi Profesional (ProDem), Md Shukri Shuib berkata, kerajaan perpaduan atau profesional dalam skop politik negara hanya akan berjaya dengan beberapa syarat iaitu setiap tonggak parti harus mengurangkan ketaksuban kepartian dan sifat melampau serta lebih bertoleransi.

Menurutnya, semua pihak juga seharusnya mengenepikan isu dan sentimen agama serta kaum termasuk isu sensitif yang wajar dihentikan segera.

“Sekiranya semua elemen itu disederhanakan, ia akan menjadi pemangkin kepada penerimaan cadangan kerajaan perpaduan. Sepatutnya apabila Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad diberikan sokongan semua parti dan kumpulan politik, usaha menubuhkan kerajaan perpaduan harus disambut baik,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Md Shukri berkata, dalam konteks negara, mewujudkan kerajaan perpaduan adalah cabaran paling rumit kerana wujudnya elemen-elemen terbabit yang menghalang kepada penyatuan politik.

“Politik profesionalisme sepatutnya menjadi asas kepada ahli politik, tetapi disebabkan terjerat dengan isu, sentimen dan tindakan tidak wajar, ia menjadi penghalang kepada cubaan membina sebuah kerajaan yang bebas dan profesional,” katanya.

Menurutnya, dua kelompok fahaman parti-parti bertentangan antara satu sama lain ditambah dengan wujudnya beberapa ketua kepada tokoh-tokoh politik turut menjadi halangan.

“Dr Mahathir diterima oleh semua ahli Dewan, namun terjerat dengan sentimen parti dan ketaatan kepada ketua mereka yang wujud secara rasmi mahupun secara peribadi. Ini adalah senjata pemusnah untuk wujudkan kerajaan perpaduan dan profesional,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Md Shukri berkata, sekiranya Dr Mahathir berjaya melakukannya, ia adalah pencapaian terbaik yang gagal dilakukan oleh mana-mana negara di dunia.

“Saya lihat percubaan Dr Mahathir mahu wujudkan kerajaan pelbagai parti, pelbagai tokoh dan pelbagai kemahiran ini menjurus kepada hala tuju membina negara iaitu istilah sains politik adalah mewujudkan politik demokrasi profesional yang sering saya nyatakan secara ilmiah,” katanya.

Menurutnya, kerajaan profesional berlandaskan demokrasi dan perpaduan seharusnya disokong penubuhannya.