MPV dipandu warga Singapura terbabas masuk restoran

MPV dipandu lelaki warga Singapura terbabas ke dalam restoran Ad Mookata di Jalan Dato Abdullah Tahir, Johor Bahru, Rabu lalu.
MPV dipandu lelaki warga Singapura terbabas ke dalam restoran Ad Mookata di Jalan Dato Abdullah Tahir, Johor Bahru, Rabu lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang lelaki warga Singapura apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terbabas ke dalam restoran Ad Mookata di Jalan Dato Abdullah Tahir, Johor Bahru, kira-kira jam 10.50 malam, Rabu lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, siasatan awal mendapati pemandu berusia 46 tahun itu gagal mengawal MPV jenis Suzuki sehingga terbabas masuk ke dalam restoran, lalu melanggar dinding, kerusi dan meja.

"Ketika cuba mengundurkan kenderaan, dia turut melanggar kereta Honda HRV yang di parkir berhampiran restoran berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah Raub, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Bagaimanapun, ketika ujian pengesanan alkohol kali kedua dilakukan, pemandu terbabit enggan memberikan kerjasama.

"Suspek kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi pengambilan sampel toksikologi bagi mengesan paras alkohol dalam badannya," ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda antara RM10,000 hingga RM30,000, serta hilang kelayakan memiliki lesen memandu selama dua tahun.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!