X

Kindly register in order to view this article
!

Tipu jual jentera, peniaga rugi RM4,000

Gambar kecil: Mohd Wazir
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga jentera berat mendakwa ditipu dalam urusan jual beli sebuah jentera melalui laman sesawang sehingga kerugian RM4,000 kelmarin.

Mangsa berusia 38 tahun berminat untuk membeli jentera backhole yang ditawarkan pada harga RM22,500 selepas melihat iklan yang dipaparkan dalam laman sesawang itu pada 22 Februari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berurusan dengan penjual melalui nombor telefon yang disertakan dalam iklan tersebut.

Menurutnya, mangsa bersetuju untuk membeli jentera itu dan membuat bayaran pendahuluan RM4,000 melalui akaun bank atas nama seorang lelaki pada hari yang sama.

"Mengikut perjanjian, mangsa akan melihat jentera itu pada 24 Februari lalu dan menjelaskan baki bayaran sebelum mengambilnya.

"Bagaimanapun selepas bayaran pendahuluan dibuat, penjual jentera itu gagal dihubungi.

"Mangsa syak dia telah ditipu apabila panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada lelaki itu telah disekat," katanya.

Beliau berkata, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Lipis, semalam untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang pekerja sebuah syarikat di sini dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung kes pecah amanah melibatkan wang hasil jualan daripada pelanggan berjumlah RM125,520.

Ia susulan laporan polis dibuat pengurus syarikat berkenaan semalam mendakwa suspek berusia 47 tahun itu gagal menyerahkan wang hasil jualan dalam tempoh 10 Januari hingga 4 Februari lalu.

Mohd Wazir berkata, suspek yang bekerja sebagai wakil jualan ditugaskan untuk membuat kutipan hasil jualan daripada pelanggan mereka di sini.

Menurutnya, wang itu sepatutnya diserahkan kepada syarikat, sebaliknya sehingga laporan polis dibuat semalam, suspek gagal berbuat demikian.

"Polis sedang mengesan suspek bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.