Peluang wanita dalam pelbagai bidang masih rendah - Aiman Athirah

Aiman Athirah
Aiman Athirah
A
A
A

SHAH ALAM - Meskipun Hari Wanita sudah disambut sejak 116 tahun, namun pencapaian daripada pelbagai sudut berhubung keterangkuman, kesaksamaan gender dan kesedaran umum termasuk peringkat tertinggi kepimpinan dilihat masih rendah.

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, ruang, peluang dan akses untuk wanita berpartisipasi dalam pelbagai bidang masih dipenuhi dengan pelbagai hambatan serta kekangan yang bukan sahaja bersifat budaya, namun stereotaip gender.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, kekurangan pembabitan wanita itu perlu dilihat daripada empat sudut utama iaitu penglibatan dalam bidang ekonomi, pendidikan, kesihatan dan politik.

"Daripada empat bidang ini, ternyata jurang penglibatan dalam bidang kepimpinan dan politik terlalu jauh, hatta semakin membesar khususnya selepas pandemik Covid-19 melanda dunia.

"Kita memerlukan lebih 130 tahun untuk mencapai kesetaraan ruang, peluang dan akses kepada wanita.

"Maka, tema sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang diangkat pada 2025 adalah 'Mempercepatkan Tindakan', perlu difahami khususnya pemimpin politik bahawa ada amanah dan tanggungjawab besar perlu kita langsaikan secara berani, tanpa tangguh kompromi," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah Aiman Athirah, semua peringkat kepimpinan dan masyarakat perlu bekerjasama untuk mempercepatkan langkah kemajuan bagi hak serta pemerkasaan wanita berikutan keterangkuman terhadap wanita tidak boleh menunggu.

"Pada hari yang istimewa ini, marilah kita bersama-sama menghargai dan meraikan sumbangan, kekuatan, serta ketabahan wanita dalam semua aspek kehidupan.

"Wanita adalah nadi kepada keluarga, komuniti, masyarakat, negara dan dunia. Wanita memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan yang lebih inklusif dan seimbang," ulasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Aiman Athirah berkata, tema Hari Wanita di peringkat negara iaitu 'Wanita Beraspirasi, Membina Legasi' mengingatkan masyarakat mengenai kepentingan memberikan sokongan, peluang dan hak sama kepada setiap wanita untuk mencapai potensi sepenuhnya.

"Setiap langkah yang kita ambil pada setiap hari akan membawa impak besar kepada generasi dan dunia akan datang.

"Marilah kita terus memperjuangkan tindakan keterangkuman gender, menghapuskan diskriminasi dan memastikan setiap wanita dapat hidup secara bermaruah," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!