Iftar Sinar Mydin: Didik masyarakat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi

Orang ramai pelbagai peringkat umur menyertai program Jelajah Iftar Sinar Mydin 2025 yang kali kedua diadakan di Melaka.
Orang ramai pelbagai peringkat umur menyertai program Jelajah Iftar Sinar Mydin 2025 yang kali kedua diadakan di Melaka.
A
A
A

MELAKA – Program Jelajah Iftar Sinar Mydin 2025 bukan sahaja dinanti-nantikan rakyat negeri ini malah menjadi medium untuk memberi peluang kepada masyarakat merapatkan hubungan sesama mereka.

Jelajah yang diadakan di pekarangan Pasaraya Mydin Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini pada Jumaat, turut mencatat sejarah tersendiri apabila merekodkan penyertaan luar biasa dan paling ramai, dengan lebih 1,000 kehadiran.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim mengakui ini merupakan satu kejayaan apabila program memberi juadah berbuka kepada orang ramai mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan yang ramai.

Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, iftar seperti ini mendidik masyarakat untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi tanpa mengira latar belakang dan disertai masyarakat berbilang kaum.

Menurutnya, meskipun berbuka puasa sinonim dengan umat Islam, namun secara tidak langsung telah berjaya memupuk semangat perpaduan tanpa meminggirkan mana-mana pihak.

Jessica menyampaikan cenderahati berupa beras keluaran Indra Valley kepada Adam Adli pada program Jelajah Iftar Sinar Mydin 2025 di Mydin MITC, Ayer Keroh, Melaka pada Jumaat.
Jessica menyampaikan cenderahati berupa beras keluaran Indra Valley kepada Adam Adli pada program Jelajah Iftar Sinar Mydin 2025 di Mydin MITC, Ayer Keroh, Melaka pada Jumaat.

Malah katanya, ini juga memberi pengalaman berbuka yang berbeza daripada kebiasaan di rumah atau di surau selain menunjukkan kepada bangsa lain keindahan dalam agama Islam itu sendiri.

"Saya dimaklumkan Melaka menjadi antara destinasi utama program kali kedua ke negeri ini kerana sambutan hangat daripada masyarakat setempat.

“Alhamdulillah, pihak penganjur memberitahu setakat ini yang paling ramai, dengan lebih 1,000 kehadiran," katanya ketika ditemui di sini, pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Beliau percaya pengunjung datang dari pelbagai tempat dan tidak hanya sekitar MITC atau dalam Parlimen Hang Tuah Jaya.

Pelajar Mahad Tahfiz Darul Huda yang turut menjayakan program itu.
Pelajar Mahad Tahfiz Darul Huda yang turut menjayakan program itu.

Ujarnya, beliau akan sentiasa memberikan sokongan dan mengalu-alukan program ini yang dapat memberi impak besar kepada rakyat yang tidak hanya terdiri daripada satu kaum sahaja.

Pengarah Urusan Indra Valley, Jessica Supayah berkata, pihaknya juga tidak ketinggalan untuk menyemarakkan bulan Ramadan ini dengan pelbagai program yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat termasuk menaja makanan bagi program iftar.

Beliau mendapati program seperti ini bukan sahaja dapat mempromosikan produk syarikatnya kepada masyarakat, namun juga sebagai platform untuk pihaknya turun padang bersama masyarakat tanpa mengira latar belakang dan peringkat umur.

"Sekiranya ada peluang seperti ini, kita akan turut serta dan dalam program ini, meraikan kepelbagaian serta memaparkan keharmonian. Mereka yang menyertainya juga terdiri daripada pelbagai bangsa, duduk berbuka bersama dengan juadah yang sama," katanya.

Siti Hawa
Siti Hawa

Sementara itu, pesara kerajaan, Siti Hawa Abdullah, 67, dari Durian Tunggal berkata, ini merupakan program kali kedua disertainya sejak tahun lalu dan suasana iftar beramai-ramai di kawasan lapang jarang-jarang diadakan.

Menurutnya, dia tidak melepaskan peluang mendaftar untuk memeriahkan program ini sejak dua hari lalu dan turut membawa ahli keluarganya seramai lima orang untuk menikmati iftar dalam suasana berbeza.

"Selain diberikan makanan percuma, pengunjung juga dihidangkan dengan santapan rohani melalui tazkirah yang disampaikan sebelum masuk waktu berbuka.

"Sekiranya diadakan lagi pada tahun depan, insya-ALLAH saya tidak akan serik untuk menyertai program seumpama ini lagi," katanya.

Siti Hawa turut berterima kasih kepada pihak penganjur termasuk Mydin yang masih memilih Melaka sebagai negeri pilihan bagi program Iftar ini.

Zaini
Zaini

Pekerja swasta dari Bukit Katil, Zaini Hasan, 51, berkata, ini adalah pengalaman pertama dia bersama anaknya berusia 11 tahun menyertai program berbuka yang dianjurkan pasar raya itu.

Menurutnya, program itu menawarkan pengalaman berbuka dalam suasana penuh keberkatan dengan beberapa pengisian menarik.

"Konsep berbuka seperti ini diharap dapat diteruskan dan diperluaskan ke lebih banyak lokasi, memberi peluang kepada lebih ramai umat Islam untuk merasai suasana berbuka ala Madinah yang penuh keberkatan," katanya.

Pada program itu, turut disampaikan sumbangan berjumlah RM1,000 kepada seramai 34 pelajar Mahad Tahfiz Darul Huda Melaka.

Sebanyak 27 jenama terlibat dalam menjayakan program itu antaranya, Yeo's, Vico Vida, Indra Valley, Nona, Nestlé, Adabi dan Sensodyne.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!