Harga biskut raya naik antara RM1 hingga RM2, kualiti tetap sama

JEMPOL - Hanya menaikkan RM1 hingga RM2 sebalang bagi beberapa jenis biskut raya susulan kenaikan kos bahan mentah ketika ini bagi mengelak kerugian.
Itu dilakukan peniaga Noor Azlina Mohd Arifin, 44, sudah 15 tahun mengusahakan perniagaan biskut raya di sini dan akan memastikan produknya kekal berkualiti.
"Kenaikan harga tersebut tidak dapat dielakkan bagi menampung kos bahan mentah yang semakin tinggi.
"Tetapi pada pandangan saya walaupun berlaku kenaikan harga, ia tetap mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan setia menghargai kualiti dan rasa biskut yang ditawarkan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Jelasnya, harga biskut raya dijualnya masih berpatutan iaitu antara RM14 hingga RM36 sebalang untuk 11 jenis biskut seperti Almond London, Tart Nanas Cheese, Suji, dan biskut kacang peas.

"Saya cuba sebaik mungkin kekalkan kualiti supaya pelanggan puas hati dengan rasa biskut,” katanya.
Menurut Noor Azlina, sehingga kini lebih 200 balang biskut telah ditempah dan tempahan dijangka ditutup seminggu sebelum raya.
“Setiap tahun mesti ada yang tempah awal sebab takut habis. Kalau tempah saat akhir, memang susah sikit nak penuhi permintaan,” tambahnya lagi.
Ketika ini katanya, perniagaan diusahakan dari rumah sekali gus membolehkan dirinya menguruskan tiga anak masih bersekolah.
"Saya selesa berniaga dari rumah sebab tidak mahu mengambil risiko membabitkan kos-kos lain sebab semuanya memerlukan modal yang banyak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
