'Saya hanya mampu bayar jaminan RM1,000 lebih-lebih lagi nak puasa, sambut raya'

Tertuduh diiringi polis dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor pada Rabu.
Tertuduh diiringi polis dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - "Saya hanya mampu bayar RM1,000 sahaja, lebih-lebih lagi tak lama lagi hendak menyambut puasa dan Hari Raya Aidilfitri," demikian rayuan sorang lelaki yang dituduh di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Muhammad Radzi Azman, 32, dituduh atas pertuduhan menipu untuk mendapatkan wang berjumlah RM8,050 secara tunai daripada seorang lelaki pada tahun lalu.

Tertuduh dalam prosiding memaklumkan jumlah dakwaan itu tidak benar kerana telah berbincang dengan mangsa dan telah memulangkan sejumlah RM7,800.

"Jumlah yang disebutkan tidak benar kerana telah membayar sebahagian wang terbabit," katanya.

Terdahulu, penghantar makanan itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Siti Hajar Ali.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curang memperdaya seorang lelaki berusia 43 tahun untuk menyerahkan wang tunai berkenaan ke akaun bank tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di batu 13½ Lorong Teratai, Kampung Sungai Serdang Kapar, antara 11 September hingga 3 Oktober tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Mariappan merayu supaya kadar jaminan dikurangkan kerana anak guamnya itu perlu menyara isteri dan seorang anak.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Siti Hajar memaklumkan, tertuduh perlu melantik peguam bagi menyatakan dakwaan yang dikemukakan pada prosiding akan datang.

Majistret kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 5 Mac depan.

Media sebelum ini melaporkan, polis menahan dan mendakwa seorang lelaki berusia 32 tahun yang dipercayai terbabit dengan beberapa kes penipuan dan penyamaran pada 1 Januari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, jenis-jenis penipuan yang dilaporkan adalah suspek menawarkan lelongan kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang tidak wujud.

Menurut beliau, lelaki itu juga disiasat melakukan penipuan untuk bebaskan tahanan dalam lokap, urusan pajakan gadai, urusan perniagaan durian serta penipuan dalam perkenalan dan berjanji untuk berkahwin dengan mangsa.

Suspek sudah dituduh bagi tiga kertas siasatan iaitu pada 16 Januari di Mahkamah Klang mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan pada 17 Januari di Mahkamah Gombak mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Suspek mengaku bersalah bagi pertuduhan terbabit dan dikenakan bayaran denda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!