Remaja perempuan hilang ketika pulang dari sekolah

KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak 25 Februari lalu.
Remaja terbabit yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Jalan Peel di sini, kali terakhir dilihat berjalan kaki sendirian dari kawasan taman permainan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana, Jalan Peel.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, laporan kehilangan remaja itu dibuat oleh ibunya yang berusia 44 tahun pada jam 11.29 malam hari kejadian.
Menurutnya, wanita berkenaan menghantar anak perempuannya ke sekolah pada jam 7 pagi sebelum datang semula untuk menjemputnya pulang kira-kira jam 4 petang.
"Pengadu memaklumkan anaknya memberitahu mempunyai kelas tarian di sekolah pada hari tersebut.
"Bagaimanapun, selepas menunggu hampir 40 minit, anaknya tidak muncul sebelum pengawal keselamatan sekolah memaklumkan tiada pelajar berada di kawasan sekolah pada waktu itu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mohamad Lazim berkata, wanita berkenaan cuba mendapatkan maklumat daripada rakan sekelas anaknya namun diberitahu bahawa mangsa dilihat berjalan kaki pulang ke rumah bersendirian dari kawasan taman permainan PPR Laksamana kira-kira jam 5 petang.
Katanya, sehingga kini usaha mengesan mangsa masih giat dijalankan dan orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kehilangan remaja terbabit.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-9281 0715 atau mana-mana balai polis berhampiran.
"Mangsa kali terakhir dilihat memakai t-shirt sukan sekolah berwarna biru dan seluar trek warna hitam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

