Aidilfitri: Ranhill SAJ jamin bekalan air cukup

Operator pembekalan air terawat negeri Johor, Ranhill SAJ memberikan jaminan bekalan air bersih mencukupi di seluruh negeri sempena sambutan Aidilfitri kelak.
Operator pembekalan air terawat negeri Johor, Ranhill SAJ memberikan jaminan bekalan air bersih mencukupi di seluruh negeri sempena sambutan Aidilfitri kelak.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Operator pembekalan air terawat negeri Johor, Ranhill SAJ memberikan jaminan bekalan air bersih mencukupi di seluruh negeri sempena sambutan Aidilfitri kelak.

Menurut Ketua Pegawai Operasinya, Khairul Effendy Tusam, sebanyak 46 loji rawatan air (LRA), telah dipersiapkan di seluruh negeri bagi menghadapi permintaan air yang tinggi menjelang, ketika dan selepas perayaan.

"Ranhill SAJ melaksanakan Op Perayaan mulai 24 Mac hingga 6 April dalam usaha memastikan gangguan bekalan air dapat diminimumkan.

"Operasi tahunan ini turut melibatkan pemantauan rapi serta pengaktifan perkhidmatan lori tangki air terutamanya di kawasan 'hotspot' seperti kawasan-kawasan kampung di Muar dan Batu Pahat.

“Pasukan kami sentiasa bersedia untuk menangani sebarang kemungkinan termasuk insiden luar jangka seperti paip pecah atau gangguan teknikal lain," katanya.

Untuk rekod, sebanyak 64 lori tangki air telah disediakan termasuk 36 lori yang disewa bagi menampung keperluan pengguna tahun lalu.

Selain itu, beberapa projek menaik taraf bekalan air sedang giat dijalankan termasuk pemasangan paip baharu sepanjang 2.5 kilometer ke Loji Rawatan Air Gersik bagi meningkatkan kapasiti bekalan ke kawasan utara Muar.

Selain itu, di Rengit, projek pemasangan paip sepanjang 8.7 kilometer dari tangki Benut dijangka siap mengikut jadual sekali gus menyelesaikan isu bekalan air di kawasan berkenaan.

Sementara itu, mewakili pihak Ranhill SAJ, Khairul Effendy turut menasihatkan pengguna agar menggunakan air secara berhemah bagi mengelak pembaziran dan memastikan bekalan mencukupi untuk semua.

Artikel Berkaitan:

"Permintaan air biasanya melonjak pada musim perayaan disebabkan peningkatan jumlah pengguna di kawasan kampung dan kediaman keluarga besar yang menerima kunjungan sanak saudara.

“Oleh itu, bagi memastikan kelancaran bekalan, kami telah meningkatkan kesiapsiagaan pasukan bertindak di semua daerah selain memantau paip utama secara berterusan. Fokus utama adalah memastikan pengguna menikmati sambutan Aidilfitri tanpa sebarang gangguan bekalan air,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!