Kanak-kanak 6 tahun maut disyaki didera pengasuh, suami

Datuk Rusdi Mohd Isa.
Datuk Rusdi Mohd Isa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri ditahan kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun sehingga menyebabkan kematian di Kepong pada Isnin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan berusia 37 tahun kira-kira jam 7.30 pagi berhubung kejadian terbabit.

"Mangsa dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh pengasuh wanita.

"Hasil bedah siasat menemukan kira-kira 20 kecederaan pada kepala, badan, tangan dan kaki dipercayai akibat hentakan benda tumpul," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, pada Selasa.

Rusdi berkata, susulan itu, pengasuh dan suaminya berusia 25 tahun bagi membantu siasatan.

"Siasatan awal mendapati mangsa dijaga oleh pengasuh wanita terbabit sejak dua bulan lalu dengan bayaran kira-kira RM800.

"Mangsa tinggal dengan pasangan terbabit selepas dihantar sebulan sekali oleh ibunya berusia 27 tahun kerana bekerja syif sebagai pegawai pemasaran," katanya.

Beliau berkata, maklumat awal mendapati ibu bapa mangsa telah bercerai.

“Suspek lelaki bekerja sebagai penunggang p-hailing dan wanita terbabit hanya bekerja sebagai pengasuh mangsa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Rusdi berkata, pasangan terbabit mempunyai tiga orang anak berusia antara empat hingga tujuh tahun.

“Dua suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!