KKM digesa perjelas isu batal penempatan pegawai perubatan

Ahmad Yunus
Ahmad Yunus
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) digesa memberikan penjelasan terperinci mengenai punca sebenar berlaku gangguan teknikal sehingga membatalkan pemilihan penempatan Pegawai Perubatan Gred UD10.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, masalah teknikal tidak sepatutnya menjadi alasan, lebih-lebih lagi apabila sebahagian pegawai membuat perancangan berdasarkan pemilihan penempatan itu.

"Pegawai perubatan yang terkesan dengan pembatalan pemilihan penempatan pastinya amat kecewa dengan tindakan KKM.

"Pembatalan ini bukan sahaja menjejaskan perancangan para pegawai perubatan dalam perjalanan kerjaya mereka sebagai doktor di sektor awam, bahkan boleh mengganggu kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

"Saya khuatir tindakan seperti ini oleh KKM akan terus menyerlahkan kelemahan dalam pentadbiran yang berlarutan tanpa penyelesaian," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini dilaporkan, KKM membatalkan pemilihan penempatan 2,245 Pegawai Perubatan Gred UD10 yang dibuat pada 27 Februari lalu susulan gangguan teknikal pada sistem ePlacement.

KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, bagi memastikan ketelusan dalam proses penempatan dan menangani isu maldistribusi, pemilihan baharu akan dibuka pada Isnin, 17 Mac bermula 3 petang menerusi sistem sama.

Mengulas lanjut mengenainya, Ahmad Yunus yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat berkata, KKM perlu lebih profesional dalam pengurusan serta memastikan pegawai perubatan yang terkesan mendapat keadilan sewajarnya.

"Sebelum ini, ramai pegawai perubatan kecewa kerana sistem KKM seolah-olah tidak mengambil kira faktor senioriti. Keadaan ini juga boleh mengurangkan minat generasi muda untuk menceburi bidang perubatan.

Artikel Berkaitan:

"KKM perlu mengambil tanggungjawab penuh dan bertindak segera dalam menangani isu ini serta langkah-langkah yang akan diambil untuk memastikan kejadian sama tidak berulang," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!