Pempengaruh berangan jadi jutawan segera

Keputusan untuk meninggalkan pelajaran demi menjadi pempengaruh juga membawa risiko ketidakstabilan kerjaya dalam jangka masa panjang. Foto hiasan
Keputusan untuk meninggalkan pelajaran demi menjadi pempengaruh juga membawa risiko ketidakstabilan kerjaya dalam jangka masa panjang. Foto hiasan
A
A
A

DALAM era globalisasi kini, tidak dapat dinafikan bahawa pempengaruh media sosial telah menjadi satu fenomena dan dianggap sebagai salah satu ‘kerjaya’ yang mudah dikecapi dalam masa singkat.

Seiring dengan kemunculan pelbagai platform seperti Instagram, YouTube, TikTok, Twitter serta Facebook, ia memberi peluang kepada individu terutama generasi muda untuk menjadi popular dan secara tidak langsung mampu meraih pendapatan dengan mudah.

Manakan tidak, dengan jumlah pengikut yang ramai, kerjaya itu membolehkan individu menjana pendapatan lumayan melalui kerjasama dengan jenama, tajaan dan jualan produk yang menjadikan dunia hiburan dalam talian lebih menarik.

Malah ada yang berangan untuk menjadi jutawan segera. Bagaimanapun, timbul pula persoalan mengenai generasi muda yang sanggup meninggalkan pelajaran demi menjadi pempengaruh media sosial untuk mencapai kebebasan kewangan dengan cepat.

Perkara ini bukan satu perkara baharu kerana sudah dibangkitkan sejak perkembangan pelbagai platform atas talian terutama selepas Covid-19 yang menyebabkan pelbagai kandungan dihasilkan.

Malah, tindakan seorang pempengaruh baru-baru ini berani menyuarakan pandangan mengenai pendidikan formal yang tidak menjamin pekerjaan profesional pada masa depan telah menimbulkan kegusaran ramai pihak.

Apa yang lebih membimbangkan apabila terdapat segelintir anak muda yang menyokong pendapat tersebut sehingga mencetuskan perdebatan di media sosial.

Bukan setakat itu sahaja, sebelum ini juga pernah tular mengenai seseorang yang cukup dikenali apabila mengatakan bahawa dirinya boleh berjaya walaupun gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Perkara itu telah memberi persepsi berbeza terutama kepada golongan muda mengenai kepentingan pendidikan yang dilihat sebagai pilihan atau jalan kedua untuk mendapatkan kerjaya bagi memperoleh pendapatan.

Artikel Berkaitan:

Meskipun pilihan ini tampak menarik dan menguntungkan, realitinya, ia tidak seindah digambarkan kerana apabila sesuatu trend atau platform berubah, pempengaruh yang pernah popular mungkin akan hilang pengaruh dan pendapatan tetap.

Keputusan untuk meninggalkan pelajaran demi menjadi pempengaruh juga membawa risiko ketidakstabilan kerjaya dalam jangka masa panjang disebabkan ia sangat dinamik dan tidak menentu.

Dalam keadaan ini, anak muda yang meninggalkan pendidikan mereka mungkin kurang bersedia untuk beralih kepada kerjaya lebih stabil serta berdaya saing dan akhirnya menjejaskan masa depan mereka.

Ia berikutan pendidikan formal mendedahkan mereka kepada pelbagai jenis kemahiran terutama berfikir secara kritis dan mampu menyelesaikan masalah yang sangat diperlukan dalam sektor profesional.

Selain itu, sistem pendidikan tradisional yang memerlukan proses panjang untuk mencipta kerjaya dilihat lebih membosankan.

Ini menyebabkan terdapat segelintir anak muda yang mula memandang rendah terhadap nilai pendidikan formal dan lebih memilih untuk fokus kepada pembangunan jenama peribadi mereka di media sosial.

Bagaimanapun, pengaruh media sosial tidak menjadi buruk seandainya dapat diimbangi dengan baik dan ditangani menerusi cara bijak dengan memanfaatkan platform berkenaan untuk berkongsi ilmu, memberi inspirasi atau membina perniagaan.

Justeru itu, pihak berwajib wajar memberi perhatian terhadap pendidikan media dan literasi digital agar mereka memahami mengenai risiko dan keburukan jika tidak digunakan sebaiknya serta cara mengendalikan dengan berhemah.

Langkah itu dilihat mampu mengembalikan minat serta pemahaman golongan muda mengenai media sosial dengan lebih jelas dan seterusnya memberi impak terhadap daya saing pekerjaan negara.

Negara yang berkembang memerlukan individu berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang untuk memastikan sektor ekonomi, teknologi dan sosial dapat berkembang dengan baik.

Jika terlalu ramai anak muda memilih untuk berhenti belajar dan terlibat dalam dunia hiburan media sosial sahaja, dibimbangi akan berlaku kekurangan bakat yang berkualiti dalam sektor tertentu termasuk bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Golongan itu perlu menyedari hakikat bahawa pendidikan bukan hanya jalan untuk membina kerjaya dan memperoleh pendapatan, sebaliknya mendidik masyarakat menjadi insan berguna dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

*Siti Aisyah Mohamad ialah wartawan Selangor/KL Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!