Ramai beli aircond tak tahan panas

JITRA - Permintaan terhadap pemasangan dan servis penyaman udara meningkat ketara pada bulan Ramadan susulan cuaca panas yang melanda negeri ini dengan peningkatan sehingga 60 peratus berbanding sebelumnya.
Pemilik syarikat penyaman udara, Maizatul Shahida Jalil berkata, tempahan khidmat pemasangan dan servis penyaman udara bertambah terutamanya sejak beberapa hari lepas disebabkan bahang panas dan cabaran berpuasa khususnya dari kawasan dilanda cuaca panas tahap satu seperti Pokok Sena.
“Sebelum ini kita akan terima tempahan perkhidmatan dan servis satu atau dua unit penyaman udara, malah ada hari tidak ada langsung tempahan.
“Sekarang kita menerima tempahan pemasangan penyaman udara baharu sebanyak enam unit sehari, itu pun kita tetapkan enam unit sebab berpuasa manakala selepas berbuka untuk kita lakukan servis penyaman udara pula,” katanya kepada Sinar Harian.
Maizatul Shahida berkata, tempahan penyaman udara meningkat terutamanya di Pokok Sena, Kota Setar dan Kubang Pasu.
“Terkini ada tiga pelanggan menempah penyaman udara dari daerah Pokok Sena.
“Seorang daripada pelanggan terbabit bukannya tempah satu unit penyaman udara untuk bilik, tetapi juga minta pasang untuk ruang lain. Beberapa hari ini, kita dapat tempahan daripada seorang pelanggan sahaja tetapi dia ambil dua penyaman udara,” ujarnya.
Kongsi Maizatul Shahida lagi, pihaknya juga menerima banyak tempahan penyaman udara dari sekolah dan masjid pada bulan Ramadan ini bagi mengurangkan bahang panas.
Menurutnya, tempahan penyaman udara tidak banyak pada hari-hari biasa menyebabkan pekerja masih keluar untuk melakukan servis selepas berbuka puasa kerana permintaan tinggi.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Selasa mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) di tiga kawasan utara Semenanjung.
Menurut hantaran MetMalaysia di Facebook, kawasan yang terlibat ialah Pendang, Pokok Sena dan Baling di Kedah.
Kenyataan itu memaklumkan, suhu maksimum harian boleh mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut di kawasan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

