KPJ catat peningkatan hasil mencapai RM3.92 bilion

KPJ Healthcare akan terus memperkasa sektor kesihatan ke tahap yang lebih baik.
KPJ Healthcare akan terus memperkasa sektor kesihatan ke tahap yang lebih baik.
A
A
A

SHAH ALAM - KPJ Healthcare Bhd (KPJ Healthcare) mencatatkan prestasi kewangan cemerlang bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 sekali gus menyaksikan pertumbuhan mampan merentas metrik utama didorong keberkesanan strategi pengoptimuman kos dan kecekapan operasi serta pelaburan yang mengutamakan pesakit.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, kumpulan itu mencatat peningkatan hasil sebanyak 15 peratus mencapai RM3.92 bilion berbanding RM3.42 bilion pada tahun sebelumnya.

“KPJ Healthcare turut merekodkan peningkatan keuntungan bersih selepas cukai kepada RM407 juta daripada RM270 juta pada tahun lepas.

“Ini disokong oleh pertumbuhan keuntungan sebanyak 20 peratus daripada operasi berterusan berjumlah RM365 juta berbanding RM303 juta pada tahun lalu, termasuk keuntungan bersih daripada penjualan perniagaan penjagaan warga emas di Australia, yang direkodkan di bawah operasi yang telah dihentikan,”katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kumpulan itu turut mencatat lonjakan dalam perolehan hasil dan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) yang meningkat daripada RM263 juta kepada RM354 juta, sekali gus mencerminkan pertumbuhan berterusan dan prestasi kewangan yang kukuh.

Sebelumnya, KPJ Healthcare melabur sejumlah RM406 juta dalam pelaburan perbelanjaan modal (capex) pada tahun 2024, meningkat 66 peratus daripada RM244 juta pada tahun 2023.

CHIN KEAT CHYUAN
CHIN KEAT CHYUAN

“Pelaburan strategik ini menyokong pembangunan infrastruktur, transformasi digital dan peningkatan perkhidmatan di seluruh rangkaian KPJ, memperkukuh daya tahan jangka panjang serta memajukan penyampaian penjagaan kesihatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sejak transformasi pada tahun 2023, KPJ Healthcare terus memperkukuh pendekatan berorientasikan pesakit pada tahun 2024 melalui lima tonggak utama iaitu pesakit, doktor, insan, rakan strategik dan alam sekitar.

“Pelancaran KPJ Health System tahun lalu merupakan pencapaian penting dalam mengukuhkan komitmen Care for Life menerusi integrasi penjagaan klinikal, pendidikan dan penyelidikan bagi meningkatkan hasil rawatan pesakit.

“Melangkah ke depan, KPJ Healthcare akan kekal fokus terhadap pertumbuhan mampan dengan memanfaatkan teknologi, kerjasama strategik serta inovasi yang berpaksikan pesakit bagi memperhebatkan pengalaman pesakit, memperluaskan pelancongan kesihatan dan mencipta nilai lebih besar untuk para pemegang saham,”katanya.

Chin menambah, KPJ Healthcare optimis terhadap prospek bagi tahun kewangan 2025, dipacu oleh rancangan pengembangan kapasiti yang kukuh serta pembangunan pusat kecemerlangan di seluruh rangkaian kumpulan.

“Tahun ini juga, kami memacu visi yang mendahulukan digital, dengan AI memainkan peranan penting dalam menambah baik pengalaman pesakit dan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan. Walaupun masih di peringkat awal, transformasi ini adalah satu keperluan,”katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!